KUALA LUMPUR – Sejak tampil dengan fesyen rambut terbaru ala-ala superstar antarabangsa, Rihanna, pelbagai maklum balas telah diterima oleh penyanyi lincah, Stacy terutama ketika pulang ke kampung halamannya di Kota Kinabalu (KK), Sabah baru-baru ini.
Stacy yang dihubungi portal murai.com.my sebentar tadi berkata, dia bagaimanapun agak terkilan apabila ada peminatnya di KK termasuk ahli keluarga terdekat yang kurang senang dengan gaya rambut ala punk terbarunya itu.
“Entahlah, kebanyakan orang di sini (KK) nampaknya kurang suka dengan gaya rambut terbaru saya ini. Ada yang kata rambut saya nampak macam terbakarlah dan bermacam-macam lagi.
“Tapi saya faham. Saya terima maklum balas mereka dengan hati terbuka. Jadi bila ada yang menegur gaya rambut saya ini, dengan mudah saya akan mengatakan yang saya telah terpotong dengan tidak sengaja,” katanya sambil ketawa kecil.
Sudah berada di kampung halamannya sejak lima hari lalu, jelas Stacy gaya rambut terbarunya itu telah dipotong di salon A Cut Above, Sunway Pyramid berhampiran dengan kediamannya pada April lalu.
Katanya, pemilihan gaya rambut berkenaan di buat selepas melihat kehebatan Rihanna beraksi dan juga foto daripada beberapa individu bukan selebriti antarabangsa yang turut menggayakan fesyen rambut serupa.
Meskipun gaya rambut punk berkenaan agak luar biasa, namun menurut Stacy dia tidak mengalami sebarang masalah untuk menggayakannya dengan apa juga pakaian dan juga acara.
“Saya sangat selesa dengan gaya rambut seperti ini. Meskipun ada yang kata tidak cantik, tapi saya tak kisah asalkan saya selesa dengannya.
“Saya bukannya seorang yang suka mengikut peredaran zaman, tetapi saya suka mencuba sesuatu yang baru dan berani dalam berfesyen terutama sekali apabila menyentuh soal rambut.
“Malah ketika membuat persembahan rakaman hari raya untuk stesen TV RTM, pihak stesen TV berkenaan sangat suka dengan fesyen rambut saya ini dan ramai teman-teman di dalam industri yang suka dengan gaya ini.
“Saya rasa ok saja bila menggayakan baju kurung mahupun gaun malam, walaupun dengan rambut baru saya ini” katanya.
Tambah Stacy, dia sedar impak yang diberikan kepada fesyen rambut terbarunya itu banyak dibantu oleh fizikalnya yang semakin kurus sekarang ini.
“Rasanya jika ketika saya gemuk dulu saya buat rambut seperti ini, pasti nampak buruk. Tetapi sekarang kerana sering bermain badminton bersama abang di gelanggang badminton di sebelah rumah saya, berat badan saya semakin berkurangan.
“Kalau dulu berat badan saya 54 kilogram, tetapi sekarang sudah 47 kilogram dan kerana berat badan ini jugalah saya nampak sesuai dan selesa dengan rambut terbaru ini,” katanya. – Murai.com.my
0 comments:
Post a Comment