Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, April 13, 2013

No Comment

Korea Utara Beri Amaran
Korea Utara Beri Amaran - TOKYO : Pemerintah Korea Utara semalam memberi amaran akan melakukan serangan nuklear ke atas Jepun jika negara itu campur tangan dalam konflik di Semenanjung Korea.
Agensi berita Korean Central News Agency menyatakan bahawa sebarang ancaman untuk menembak jatuh peluru berpandunya akan menyebabkan berlakunya peperangan.
Menurut kenyataan agensi berita dari Korea Utara itu, sebarang langkah yang dibuat Jepun dalam krisis di Semenanjung Korea akan menyebabkan negara itu terjerumus ke dalam peperangan.
Ekoran kenyataan itu, Jepun berikrar akan bertindak balas terhadap sebarang senario yang berlaku ekoran krisis di Semenanjung Korea.
“Kami mengetahui tentang kenyataan yang dibuat oleh Korea Utara menerusi media dan beberapa saluran lain.
“Kami tidak akan memberikan sebarang komen tentang reaksi kita berhubung kenyataan tersebut atas sebab-sebab operasi,” kata Kementerian Pertahanan Jepun kepada agensi berita AFP.
“Apa yang boleh kami perkatakan adalah kita akan mengambil setiap pendekatan untuk bertindak balas terhadap sebarang senario yang berlaku,” menurut kenyataan kementerian tersebut.
Beberapa pelancar peluru berpandu Patriot telah diletakkan di Tokyo untuk melindungi 30 juta penduduk di bandar raya tersebut daripada sebarang ancaman Korea Utara.
Kapal-kapal tentera Jepun yang dilengkapi peluru berpandu penangkis turut ditempatkan di Laut Jepun untuk menghadapi serangan negara komunis itu.
Tentera Amerika Syarikat dan Korea Selatan kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan menjangkakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu miliknya sebelum 15 April ini iaitu sempena sambutan hari kelahiran bekas pengasas negara itu, Kim Il-sung.
Korea Utara yang merupakan sebuah negara komunis sebelum ini turut meminta semua warga asing di Korea Selatan meninggalkan negara itu kerana mendakwa perang nuklear akan berlaku.
Ketegangan di Semenanjung Korea semakin memuncak selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaksanakan sekatan pengimportan barang mewah dan perpindahan wang tunai untuk tujuan program nuklear ke atas Korea Utara pada Mac lalu.
Sekatan itu dibuat selepas Korea Utara yang dipimpin Kim Jong-un berusia dalam lingkungan 30-an telah melancarkan ujian nuklear ketiga pada Februari lalu.
Beberapa pesawat kalis radar milik AS turut ditempatkan di Korea Selatan bagi menghadapi serangan dari Korea Utara.
Tentera Korea Selatan turut menempatkan pelancar peluru berpandu Patriot di beberapa kawasan di Seoul sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghadapi serangan dari Korea Utara. – Agensi

0 comments:

Post a Comment