KLUANG - Panik apabila pintu bilik hotel yang ditumpangi diketuk
penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) daerah Kluang, seorang lelaki
sanggup mengadang pintu biliknya dengan sebuah meja bagi menyelamatkan
diri bersama pasangan kekasihnya daripada ditahan dalam Ops Maksiat,
awal pagi kelmarin.
Selepas hampir 10 minit mendiamkan diri tanpa memberi tindak balas, pintu bilik berkenaan dipecahkan pihak penguatkuasa.
Menurut Pegawai Tadbir Agama daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor,
pemeriksaan penguatkuasa mendapati, seorang lelaki berusia 33 tahun
bersama pasangannya berusia 19 tahun yang sedang mengandung tujuh bulan
berada di dalam bilik hotel itu.
“Pihak kita juga menghadapi sedikit masalah apabila lelaki itu yang juga
bekas tentera tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan pegawai
penguatkuasa JAJ kepadanya,” katanya.
Mohd Khalil berkata, hasil soal siasat, lelaki tersebut telah
diberhentikan daripada perkhidmatan tentera kerana kesalahan tatatertib
dan sudah mempunyai isteri serta empat anak yang tinggal di Taman Sri
Impian.
“Manakala pasangannya itu tidak bekerja setelah menamatkan persekolahan sehingga tingkatan lima,” katanya.
Beliau berkata, lelaki tersebut memberitahu yang dia mahu bernikah
apabila mengetahui kekasihnya mengandung, tetapi hasratnya terbantut
apabila mendapat tentangan daripada isteri.
“Bagaimanapun, pasangan tersebut dibebaskan setelah diikat jamin oleh
keluarga masing-masing dan akan didakwa di bawah Seksyen 23(1) (2)
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan boleh dikenakan denda tidak
lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau
enam kali sebatan jika sabit kesalahan.
“Pasangan itu adalah antara tujuh pasangan yang telah berjaya ditahan
dalam Ops Maksiat sempena Hari Merdeka awal pagi kelmarin,” katanya.
Operasi yang dijalankan itu juga telah diketuai oleh Ketua Unit
Penguatkuasa Agama Daerah Kluang, Anuar Kosnin dan melibatkan lapan
anggota Penguatkuasa JAJ daerah Kluang serta empat anggota Cawangan
Penyiasatan Khas (CPK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
0 comments:
Post a Comment