PETALING JAYA – Seorang ibu muda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Isnin, atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi perempuan yang baru dilahirkannya, bulan lepas.
Siti Fazlena Sahili, 20, didakwa dengan sengaja mencampak bayi seberat 2.8 kilogram tersebut dari tingkat tiga blok kediamannya dan menyebabkan bayi jatuh ke tempat letak motosikal di bawah.
Siti Fazlena, seorang pekerja kilang didakwa melakukan kesalahan itu di No. B1-3-23, Blok 1, Flat Desa Mentari, Jalan PJS 6/5E Sungai Way, di sini, pada 11 pagi, 16 Sept lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 309B akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Chong Yin Xin menawarkan wang jaminan RM20,000 dengan dua orang penjamin.
Bagaimanapun peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman yang mewakili Siti Fazlena memohon mahkamah agar jaminan dikurangkan berikutan tertuduh berpendapatan rendah yang perlu menanggung ayahnya yang baharu mengalami kemalangan.
Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 November untuk sebutan semula kes. -BERNAMA
0 comments:
Post a Comment