KUALA LUMPUR – Pelajar Malaysia di New York, Amerika Syarikat diingatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa negara itu ketika berdepan bencana Taufan Sandy.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata mereka juga dinasihatkan berada dalam kawasan perlindungan dan menyimpan stok makanan yang mencukupi sepanjang tempoh bencana itu melanda.
Beliau berkata pihak kementerian sentiasa memantau keadaan pelajar di New York dan mereka kini dalam keadaan selamat.
“Ini satu bencana yang sudah dijangka akan berlaku dan dimaklumkan akan berlaku. Jadi persiapan dah diambil kira.
“Apa yang penting, mereka mematuhi arahan yang dikeluarkan dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri. Jangan jadi hero dengan berada di luar ketika keadaan itu,” katanya selepas menghadiri Majlis Mesra Bersama Pelanggan dan Pembayaran Balik Pembiayaan kepada Penerima Kelas Pertama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (2005-2010) di Pusat Dagangan Dunia Putra Selasa.
Sandy diletak dalam taufan kategori 1 dengan tiupan angin sehingga 120 kilometer sejam sejak tengah hari Ahad di New York. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment