KUALA LUMPUR – Semalam timbul satu cerita yang mengejutkan apabila
penyanyi lagenda rock Malaysia, Suhaimi Abdul Rahman, 53, atau Amy
Search secara tiba-tiba mengumumkan di laman Twitternya restoran
bertemakan makanan Cina miliknya terpaksa ditutup.
Semua peminat-peminat Amy khususnya yang suka menjamu selera di Restoran Cheng Ho miliknya meluahkan rasa terkejut.
Menerusi laporan mStar Online hari ini, Amy memberitahu punca penutupan
restoran itu adalah kerana perniagaan restoran tidak berjalan lancar
selepas memberikan tanggungjawab menjaga restoran itu kepada seorang
kawannya.
Walaupun sudah beroperasi selama empat tahun, Amy terpaksa akur dan
mengakui sedih perniagaan restoran Cheng Ho yang bertempat di Wangsa
Maju itu sudah pun berakhir.
“Apa pun, saya tetap sedih kerana perniagaan ini sudah lama dijalankan tetapi akhirnya terpaksa ditutup,” kata Amy.
Bercerita mengenai pembukaan restoran ala Cina itu, Amy memulakan
perniagaan itu empat tahun lalu dengan modal sebanyak RM250,000.
Pada Jun tahun lalu, Amy menyerahkan tanggungjawab untuk menguruskan perniagaan restoran itu kepada seorang sahabatnya.
Bagaimanapun, Restoran Cheng Ho terpaksa ditutup kerana tanggungjawab
yang diberikan kepada sahabatnya menyebabkan pelbagai masalah timbul.
Untuk rekod, Amy pernah menerima saman daripada Nik Zahir Nik Mohd Idris
bagi pihak anaknya, Nik Zakwan, 6, atas kecuaian pekerja Amy sewaktu
bertugas.
Akibatnya, Nik Zakwan melecur pada bahagian belakang badan kerana terkena kuah tom yam yang panas.
Penyanyi itu diperintahkan Mahkamah Sesyen Sivil di sini pada Mei 2010
untuk membayar ganti rugi sebanyak RM18,000 kepada keluarga Nik Zahir.
Oleh: NAIMAH SHAARI
Oleh: NAIMAH SHAARI
0 comments:
Post a Comment