PETALING JAYA: Pelakon jelita Neelofa berasa hairan dengan
penerimaan segelintir pihak yang mendakwa dia beraksi gedik ketika
mengacarakan episod pertama rancangan MeleTopyang mula disiarkan di Astro Ria pada Selasa lalu.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 23, berkata, dia
bersetuju jika ada pihak yang menganggap dia terlalu lincah dan lantang
tetapi gelaran gedik itu kurang sesuai kerana apa yang dipersembahkan
adalah mengikut kehendak konsep program berkenaan.
“Saya sendiri berasa pelik pada bahagian mana dalam program itu yang
saya kelihatan gedik? Saya rasa perkataan itu kurang sesuai tetapi
mungkin saya agak lincah, ceria dan lantang daripada kebiasaan.
“Sebenarnya, sifat ceria dan aktif itu juga sebahagian daripada diri
saya cuma selama ini masyarakat tidak pernah melihatnya. Orang sudah
terbiasa melihat saya dengan penampilan feminin dan sopan dalam
rancangan Nona,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Khamis.
Ketidakpuasan segelintir penonton terhadap gaya Neelofa dalam MeleTop diperkatakan
dengan meluas pada laman Twitter sejurus episod pertama rancangan itu
yang disiarkan secara langsung pada pukul 10 malam pada Selasa lalu di
Astro Ria (saluran 104).
Neelofa berkata, sebagai orang baru yang julung kali mengacarakan
program secara langsung, dia menerima setiap pandangan dengan hati
terbuka dan mahu memperbaiki sebarang kekurangan yang terjadi.
“Keluarga dan rakan-rakan rapat beri komen membina. Bukan mereka puji
semata-mata tetapi ada banyak komen yang memberangsangkan boleh saya
ambil kira.
“Malah, pihak Astro sendiri berpuas hati dengan tugas saya dan mereka kata saya sudah beri lebih daripada yang diharapkan.
“Selepas melihat semula ulangan program itu, saya kenal pasti beberapa
aspek yang boleh saya perbaiki untuk siaran seterusnya,” katanya.
Ditanya mengenai penerimaannya berhubung pertikaian umum itu, Neelofa
berkata, dia menjadikan pengalaman pengacara Fara Fauzana ketika
dipertikaikan mengacarakan Melodisebelum ini sebagai rujukannya.
“Saya tidak kecil atau patah semangat dengan pertikaian orang kerana yang paling penting kerja saya memuaskan hati pihak Astro.
“Apabila berlakunya perkara itu, saya baru faham apa perasaan yang
pernah dialami Fara Fauzana ketika dia dihentam dan dipertikaikan itu
dan ini semasa mengacarakan Melodisebelum ini.
“Apa-apa pun pertikaian orang, Fara tetap teruskan tugasnya mengikut
kehendak pihak penerbitan. Itu yang menjadi pegangan saya untuk
meneruskan cabaran mengacarakanMeleTop pada masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, aktres kontroversi ini sedang sibuk dengan sesi latihan bagi mengacarakan Anugerah Skrin 2012 (ASK2012) di samping Awal Ashaari.
ASK2012 akan berlangsung pada 9 November ini pukul 9 malam di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat sini.
0 comments:
Post a Comment