ALOR SETAR - Bau kurang menyenangkan dengan kehadiran lalat berhampiran tingkap sebuah rumah menimbulkan rasa pelik jiran-jiran menjadi petunjuk kepada penemuan mayat seorang warga emas.
Lai Boh Lin, 76, ditemui mati dalam keadaan terduduk di atas mangkuk tandas dalam bilik utama rumahnya di Taman Saga, Alor Mengkudu dekat sini, dikatakan sudah meninggal dunia beberapa hari lalu.
Jiran, Ong Keng Huat, 62, berkata, dia berasa hairan selepas menghidu bau busuk sejak tiga hari lalu tetapi belum mengesyaki sesuatu yang buruk terjadi
Katanya, masuk hari kelima (semalam) bau itu semakin kuat sehingga dia dan keluarga tidak tahan lagi.
“Selepas saya jenguk ke rumah dia (si mati) dan mendapati banyak lalat yang menghurung sebuah tingkap rumah itu.
“Saya mengajak beberapa jiran yang lain untuk melihat apa yang berlaku. Kami mengetuk pintu rumah yang berkunci tetapi tiada sahutan, jadi kami menghubungi anggota Rela,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Selepas menemui mayat Boh Lin, mereka kemudian menghubungi polis pada kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Keng Huat berkata, jirannya yang juga seorang tabib itu jarang pulang ke rumah berkenaan berikutan sudah berpindah dan tinggal bersama isterinya di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, si mati juga seorang yang pendiam dan jarang berkomunikasi dengan jiran-jiran di situ.
“Dia sudah lama tinggal di sini, kemudian berpindah selepas anak perempuannya pergi melanjutkan pelajaran di luar negara. Dia akan pulang sesekali sahaja.
“Tetapi pada Sabtu lalu, kami ada berbual selepas dia minta tolong tolak keretanya yang rosak. Dia juga ada mengadu rasa tak sedap hati dan badan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan, ketika dihubungi berkata, sehingga kini (semalam) mayat tersebut masih dalam siasatan lanjut (post-mortem).
“Setakat ini kita klasifikasi kes sebagai mati mengejut. Siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia kira-kira empat hari lalu.
“Mengikut rekod si mati juga menghidapi penyakit jantung,” katanya.
0 comments:
Post a Comment