Di kala kebanyakan kumpulan nasyid
seangkatan dengannya kian menyepi, namun Hijjaz masih meneruskan
kesinambungannya dalam industri nasyid tempatan. Setelah hampir tiga
tidak tahun tidak menghasilkan album penuh, Hijjaz tampil dengan album
yang berjudul, JANJI pada 9 Julai lalu.
Memuatkan sembilan buah lagu dalam album
JANJI, Hijjaz tampil dengan nafas baru khas dengan kelahiran album
tersebut. Hijjaz mengambil langkah berani untuk keluar dari kepompong
selamat mereka dengan menyuntik elemen rock dalam beberapa buah lagu
untuk album terbaru mereka.
“Pada 1 Ramadan ini genap perjuangan
Hijjaz selama 17 tahun sebagai kumpulan nasyid. Kami tampil dengan album
terbaru ini untuk merancakkan industri nasyid yang kian suram. Rentak
yang sedikit berbeza ini sesuai dengan jiwa orang muda,” kata Isman
Nadim selaku ahli kumpulan Hijjaz, ketika ditemui di majlis pelancaran
album mereka baru-baru ini.
Idea tercetus untuk menghasilkan album
yang sedikit berbeza ketika mereka menyumbangkan suara untuk runut bunyi
rancangan Saladin. Dua buah lagu yang dimuatkan dalam album JANJI yang
berjudul Janji Khalifah dan Harapan Ummah merupakan lagu-lagu yang
mendapat sentuhan pop rock hasil gubahan pemuzik tempatan.
Antara lagu lain yang dimuatkan dalam
album ini adalah seperti Kau Pemilik Cinta, Laukana Bainana, Hanyalah
Iman, Pemimpin 3 Darjat, Penghulu Syurga, Akulah Pencinta dan Pemula
Langkah.
Album ini juga menampilkan kelainan
kerana memberi peluang kepada ahli kumpulan yang lain untuk turut
menyumbangkan suara selain daripada vokalis mereka, Munif Ahmad.
Walaupun kelantangan vokal Munif tidak dapat dinafikan lagi, namun
peluang ini mampu menyerlahkan kekuatan vokal masing-masing.
JANJI yang merupakan edaran RUSA
Marketing Sdn Bhd sudah menemui para peminat di Lahad Datu, Tawau dan
mendapat reaksi positif mengenai sentuhan baru Hijjaz ini. Malah album
ini juga bakal menembusi pasaran Indonesia dalam tempoh masa enam bulan
akan datang. – Gua
0 comments:
Post a Comment