KOTA KINABALU – Polis Daerah Kota Kinabalu menahan 42 penunggang motosikal kerana pelbagai kesalahan termasuk dua positif dadah jenis methaphetamine dalam Ops Cantas Khas Trafik (Op Samseng Jalanan) di sepanjang laluan Tanjung Lipat ke Jalan Coastal dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Jauteh Dikun berkata operasi selama lima jam berakhir 4 pagi tadi itu menahan kesemua penunggang lelaki berusia lingkungan 18 hingga 32 tahun dan menyita 97 buah motosikal.
“Sebuah motosikal jenis Honda Ex5 dikesan motosikal curi kerana tiada nombor pendaftaran depan dan belakang turut dirampas selepas ditinggalkan di tepi jalan di kawasan Alamesra,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jauteh berkata sejumlah 58 saman dikeluarkan meliputi pelbagai kesalahan seperti motosikal tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai ekzos dan enjin serta nombor plat motosikal yang tidak mengikut spesifikasi.
Operasi dijalankan oleh seramai 54 anggota termasuk empat pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, ibu pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dan lima anggota Dewan Bandaraya Kota Kinabalu. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment