KUALA LUMPUR – Pemilihan kawasan catuan air tidak dibuat berdasarkan status sosioekonomi pengguna, demikian menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS, Priscilla Alfred Dharan dalam kenyatannya Sabtu berkata pemilihan kawasan itu sebaliknya dibuat berdasarkan pertimbangan teknikal sistem agihan.
“Pengecualian hanya pada kawasan secara khusus dikecualikan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), iaitu pusat petadbiran kerajaan Persekutuan Putrajaya dan kerajaan Selangor serta pusat bandaraya Kuala Lumpur.
“Ia meliputi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang, Pelabuhan Klang, Zon Perdagangan Bebas, hospital kerajaan dan swasta, pusat dialisis serta Stesen Janakuasa Salahudin Abdul Aziz di Kapar,” kata beliau.
Priscilla mengingatkan penduduk agar tidak melakukan aktiviti terlarang dan menyalahi undang-undang bagi mendapatkan air seperti merosakkan sistem paip agihan kerana ia akan mengakibatkan kehilangan atau kekurangan lebih banyak bekalan sekali gus menyebabkan masalah kekurangan air bertambah teruk.
Orang ramai diminta memberi kerjasama secara berjimat cermat menggunakan air semasa catuan dan pihak badan pengurus bangunan diminta mengawal paras kolam simpanan air mereka sehingga mencapai paras stabil sebelum melepaskan air kepada penduduk.
“Ini bagi membantu penduduk kawasan yang dijadual mendapat air menerima bekalan dalam tempoh yang ditentukan,” katanya.
Orang ramai yang masih keliru dengan pelan catuan bekalan air boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat berhubung kawasan terlibat, jadual catuan harian dan polisi lain berkaitan catuan.
–BERNAMA
0 comments:
Post a Comment