KUALA LUMPUR – Ketika usaha mencari pesawat udara Malaysia yang hilang sedang diteruskan, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menyampaikan ucapan terima kasih Malaysia kepada Amerika kerana terus memberi sokongan dan kerjasama padunya dalam operasi itu.
Pada majlis jamuan negara meraikan Presiden Amerika Barack Obama Sabtu malam, baginda bertitah kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 itu melibatkan penumpang pelbagai negara, termasuk Malaysia dan Amerika.
Seri Paduka bertitah bantuan yang dihulurkan Amerika itu menjadi bukti wujudnya hubungan rapat antara kedua-dua negara.
“Sesungguhnya, penglibatan saudara sejak peringkat awal misi mencari dan menyelamat itu dan operasi pencarian yang dilakukan ketika ini mencerminkan komitmen kukuh yang wujud antara kedua-dua negara kita,” titah baginda.
Obama, presiden Amerika pertama berkunjung ke Malaysia sejak hampir 50 tahun lepas, melakukan lawatan negara tiga hari ke Malaysia dalam rangka penjelajahan beliau ke empat negara Asia, selepas Jepun dan Korea Selatan. Destinasi terakhir beliau ialah Filipina.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac sebelum hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Mereka termasuk rakyat Amerika.
Operasi disertai pelbagai negara mencari pesawat Boeing 777-200ER itu di luar perairan Perth, Australia, di Lautan Hindi melibatkan penggunaan kenderaan dalam air autonomi dilengkapi alat sonar milik Tentera Laut Amerika dikenali sebagai Bluefin-21.
Tuanku Abdul Halim bertitah baginda gembira melihat hubungan antara Malaysia dengan Amerika semakin kukuh dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kepentingan bersama dan nilai yang dikongsi kedua-dua negara, begitu pesat berkembang.
“Beta gembira kerana kedua-dua negara kita akan membincangkan cara untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, keselamatan dan pertahanan, pendidikan, tenaga, sains dan teknologi serta hubungan antara rakyat dengan rakyat,” titah Seri Paduka.
Obama dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadiri majlis itu, dijadual mengadakan perbincangan dan menghadiri jamuan kerja tengah hari di Putrajaya pada Ahad.
Sambil menyifatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara berada dalam keadaan amat kukuh, Tuanku Abdul Halim bertitah sokongan berterusan Amerika terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia akan membantu mengemudi negara yang mempunyai 30 juta penduduk ini mencapai status negara maju.
Titah baginda, Amerika dialu-alukan untuk terus berganding bahu dengan Malaysia bagi menjamin keamanan dan kestabilan rantau ini.
“Ini boleh dicapai melalui nilai yang dikongsi bersama dan sikap saling menghormati, saling memahami dan kesederhanaan, disertai hubungan kukuh antara rakyat dengan rakyat,” titah baginda.
Tuanku Abdul Halim bertitah Malaysia akan terus berusaha memupuk hubungan kukuh dan berkekalan dengan Amerika sebagai asas dalam usaha mewujudkan kestabilan dan kemakmuran bagi kedua-dua negara.
Seri Paduka menyuarakan harapan agar Obama gembira dan berpuas hati dengan layanan Malaysia serta kembali ke Amerika dengan membawa kenangan manis tentang negara ini.
“Beta harap lawatan saudara ke Malaysia memberi penuh makna dan menyimpul pelbagai kenangan. Beta mendoakan agar saudara sekeluarga sentiasa sihat dan sejahtera, begitu juga bagi seluruh rakyat Amerika,” titah baginda.
–BERNAMA
0 comments:
Post a Comment