KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP malam tadi sebulat suara mengeluarkan beberapa resolusi menolak rancangan PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, antara resolusi itu adalah DAP kekal dengan pendirian bahawa hudud bercanggah dengan Perlembagaan Negara dan semangat kemerdekaan negara.
“Resolusi itu turut menegaskan rancangan melaksanakan undang-undang hudud PAS bukan polisi pakatan kerana DAP tidak pernah bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang itu selama ini.
“Resolusi juga mengesahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang salah apabila menyatakan pakatan dan DAP telah bersetuju melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan atau Terengganu pada tahun 2011,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Guan Eng turut memaklumkan, pimpinan DAP akan bertemu dengan pemimpin PAS berhubung perkara itu, namun menegaskan mereka sama sekali tidak akan berbincang tentang kewajaran melaksanakan undang-undang itu.
Menurutnya, DAP akan turut memaklumkan PAS tentang risiko-risiko yang akan dihadapi parti itu sekiranya meneruskan rancangan untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.
Risiko itu adalah risiko kehilangan sokongan kehilangan sokongan bukan Islam, risiko perpecahan pakatan pembangkang, risiko kehilangan kehilangan kerusi yang dimenangi dengan sokongan bukan Islam.
Selain itu, mesyuarat CEC DAP malam tadi turut mengeluarkan resolusi calon parti itu dalam pilihan raya kecil Bukit Gelugor akan ditentukan oleh Tan Kok Wai dan Lim Kit Siang.
“Walaupun keutamaan diberikan kepada senarai calon yang dicadangkan Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang, adalah hak Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP untuk mempertimbangkan calon-calon lain yang dicadangkan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment