MELAKA – Seorang wanita merupakan antara 16 yang ditahan dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) ke Indonesia dalam Ops Serkap di persisiran pantai Duyung di sini, Jumaat.
Wanita berusia 40 tahun dari Batu Kikir, Negeri Sembilan itu disyaki tekong darat yang membawa PATI ke persisir pantai berkenaan.
Ibu tunggal itu bagaimanapun mendakwa tidak mengetahui dua lelaki warga Indonesia yang dibawanya dengan sebuah kereta itu, merupakan PATI.
“Saya hanya mendapat panggilan untuk mengambil dan menghantar warga asing ke tempat tersebut dan bayaran diterima melalui akaun bank,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bandar Hilir di sini.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Imigresen Melaka Abu Bakar Sidek Hasan dalam satu sidang akhbar berkata wanita berkenaan ditahan pada 7.55 petang semalam selepas menurunkan warga asing berhampiran Kampung Padang Temu di sini untuk menaiki bot ke Indonesia.
Abu Bakar berkata penahanan itu hasil intipan selama tiga bulan oleh imigresen selepas mengesan berlakunya aktiviti penyeludupan PATI di kawasan berkenaan.
Pada masa sama, katanya 13 warga Indonesia berusia antara 21 hingga 70 tahun ditahan Polis Marin dalam sebuah bot pancung kira-kira 0.3 batu nautika dari persisiran pantai berkenaan.
Beliau berkata dua lelaki yang merupakan tekong laut warga Indonesia berusia 32 dan 35 tahun juga ditahan dalam operasi itu.
Kesemua PATI warga asing itu dipercayai cuba menyeludup keluar dari Malaysia mengikut laluan berkenaan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau permit tamat tempoh, katanya.
Katanya PATI terbabit dipercayai membayar antara RM400 hingga RM600 seorang untuk diseludup keluar menggunakan bot pancung. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment