CYBERJAYA – Kehadiran Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Cyberjaya bagi melancarkan Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC), yang dijadualkan esok, akan mengharumkan lagi imej dan peranannya sebagai antara bandar pintar terunggul di dunia.
Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd Faris Yahaya berkata Cyberjaya yang dibangunkan sejak 1997, kini bukan sahaja berperanan sebagai hab global untuk pembangunan industri teknologi maklumat, bahkan juga sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) di rantau ini.
“Kehadiran Presiden Obama sudah pasti meletakkan Cyberjaya antara hab global teknologi penting di pentas dunia dan melonjakkan nama Cyberjaya sebagai tempat berprofil tinggi di global,” katanya selepas menyertai Magic Ride bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di sini hari ini.
Faris yakin selepas kehadiran bersejarah itu, lebih banyak syarikat antarabangsa berteraskan ICT dan R&D terutamanya dari Amerika Syarikat akan memilih Cyberjaya sebagai pangkalan operasi mereka.
Katanya, ketika ini Cyberjaya menjadi pilihan kepada lebih 800 syarikat termasuk 43 syarikat multinasional berteraskan ICT tersohor menempatkan pangkalan operasi mereka di sini, sekali gus membantu mencetuskan persekitaran inovatif dan kreatif.
Faris berkata hampir 50 peratus daripada syarikat multinasional dan badan organisasi antarabangsa yang beroperasi di Cyberjaya seperti Dell; Hewlett-Packard (HP); International Business Machines Corporation (IBM); American International Assurance (AIA); American International Group (AIG); syarikat telekomunikasi AT&T; Prudential; Silicon Graphics International (SGI) dan Monster Technologies adalah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat.
Bandar pintar pertama di negara ini juga kini mempunyai enam universiti dan kolej bertaraf antarabangsa dan menjelang 2016, Cyberjaya akan menjadi sebuah bandar serba lengkap dengan memiliki infrastruktur moden dan mampu menampung penduduk tetap melebihi 100,000 orang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan turut menemani Obama pada majlis pelancaran tersebut esok.
MaGIC bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan dinamik dengan membolehkan pengusaha tempatan dan antarabangsa memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Pusat ini direka untuk menjadi pusat sehenti untuk usahawan, yang akan menyediakan setiap kemudahan yang diperlukan oleh seorang usahawan,
daripada mendapatkan pembiayaan dari bank-bank atau pemodal teroka untuk menyediakan inkubator bagi membangunkan syarikat permulaan untuk memperbaiki produk atau perkhidmatan mereka.
Pusat itu juga akan membantu dalam pendaftaran harta intelek dan menyediakan kemudahan untuk latihan, bimbingan dan mentor. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment