KUALA LUMPUR – Pengamal perubatan di seluruh negara perlu cekap dalam membuat diagnosa awal penyakit denggi ke atas pesakit mereka yang disyaki mengidap wabak itu berikutan peningkatan kes denggi di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pengamal perubatan yang dimaksudkan itu termasuk mereka yang berkhidmat di klinik dan hospital kerajaan dan swasta.
”Mereka perlu mahir dan cekap dalam membuat diagnosa awal penyakit denggi ini berpandukan garis panduan denggi terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
“Garis panduan ini boleh dimuat turun di laman web http://www.moh.gov.my/attachments/5502.pdf,” katanya melalui satu kenyataan media.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, sekiranya ada kes yang disyaki denggi, kes tersebut perlu dimaklumkan segera kepada pejabat kesihatan terdekat dalam tempoh 24 jam.
Menurutnya, langkah itu supaya tindakan kawalan dapat dilakukan di lokasi terlibat.
“Sekiranya terdapat kes-kes denggi yang memerlukan rujukan ke hospital, rujukan tersebut perlu dilakukan secepat mungkin,” katanya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan, terdapat dua kematian akibat denggi dilaporkan dari 13 April hingga 19 April lalu membabitkan seorang wanita berusia 40 tahun dari Sabah dan seorang lelaki berusia 61 tahun dari Perak.
Jelasnya, kes kematian itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat denggi dari 1 Januari lalu sebanyak 66 kematian.
Ia peningkatan sebanyak 371 peratus berbanding cuma 14 kematian yang dilaporkan dalam tempoh sama pada tahun 2013 iaitu
Katanya, dari bulan Januari hingga 19 April 2014, sebanyak 28,814 kes telah dilaporkan berbanding cuma 7,412 kes bagi tempoh yang sama pada 2013 iaitu peningkatan 288 peratus.
“Untuk mencegah kematian akibat denggi ini, peranan masyarakat adalah amat penting. Mereka perlu mengetahui gejala dan tanda-tanda demam denggi dan seterusnya mendapatkan rawatan segera.
“Antara gejala dan tanda yang perlu diketahui adalah seperti demam kuat secara mengejut dan berterusan, sakit teruk pada tulang, otot, sendi, biji mata dan kepala, hilang selera makan, muntah, sakit perut, cirit birit, ruam merah pada kulit serta pendarahan pada badan, hidung dan mulut. Namun perlu diingat bahawa gejala dan tanda-tanda demam denggi juga kadang-kala menyerupai penyakit-penyakit lain dan sukar untuk dikesan pada peringkat awal,” katanya.
0 comments:
Post a Comment