BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Itulah pepatah yang sesuai untuk keadaan yang dialami oleh pelakon veteran, Sidek Hussin, 63, apabila ketumbuhan yang dihidapinya di pipi sejak sekian lama disahkan doktor sebagai kanser.
Memetik laporan Berita Harian, persoalan mengenai ketumbuhan itu terjawab apabila dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 30 Mac lalu selepas dia pengsan ketika sedang membeli barang.
“Saya agak terkejut apabila doktor mengesahkan ketumbuhan ini semakin merebak menjadi kanser.
“Jika dulu usaha untuk membuangnya terhalang kerana banyak perkara, antaranya masalah jantung saya yang lemah, selain sibuk menjalani penggambaran, kini saya hanya mampu berserah,” katanya.
Sidek kini dikatakan semakin susut berat badan dengan hanya 55 kilogram berbanding 83 kilogram sebelum ini.
Dia juga berada dalam keadaan lemah dan tutur katanya sukar difahami.
Sementara itu, isterinya, Sebiah Sulaiman, 61, menerusi Sinar Harian pula berkata, biar pun Sidek tidak mengadu sakit sebelum kejadian itu, bengkak di pipinya semakin membesar.
“Saya sendiri tak tahu apa penyakitnya kerana pada pembedahan pertama, doktor memberitahu ianya hanya bengkak biasa.
“Namun, bila ia membengkak lagi, situasi itu merisaukan kami. Semalam, doktor telah mengambil sampel dan dua minggu lagi, keputusannya akan diketahui.
“Sebelum ini, doktor ada memberitahu bahawa bengkak berkenaan turut melibatkan urat di bahagian otak dan paru-paru,” jelasnya.
Sidek pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu pada tahun 1982, namun kembali membesar tiga tahun selepas itu.
Diharap agar orang ramai mendoakan kesihatan dan kesejahteraan pelakon ini.
Bukan sedikit jasanya dalam bidang lakonan. Jangan kerana sudah terlantar sakit dan kurang muncul di kaca televisyen, dirinya dilupakan pula.
Oleh: Elza / SiakapKeli.com
0 comments:
Post a Comment