Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, April 16, 2014

No Comment

Hingga kini misteri kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) masih lagi menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar, portal berita dan televisyen di seluruh pelosok dunia.

Baik media tempatan mahupun media asing, masing-masing memberikan liputan meluas mengenai operasi pencarian dan berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama melaporkan perkembangan terkini insiden MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas.

Malangnya, ada sesetengah media asing dilihat sengaja terus-menerus mencipta tanggapan negatif, berat sebelah dan seakan-akan mahu mengaibkan nama Malaysia dalam laporan mereka.

MEDIA ASING PAKAR SPEKULASI

Rakyat Malaysia hanya dapat membaca, mendengar dan menonton paparan laporan yang kebanyakannya dilakukan media asing begitu kritikal terhadap syarikat penerbangan negara, anak kapal dan pemimpin kerajaan.

Saban hari laporan berita yang dipaparkan semakin menyimpang jauh, contohnya laporan agensi media yang berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu Fox News Channel yang mengaitkan Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang, Fariq Ab Hamid dengan keganasan, sabotaj dan rampasan kapal terbang.

Sedang operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dilakukan, penganalisis keselamatan CNN, Peter Bergen awal-awal lagi merumuskan pesawat itu hilang akibat keganasan atau cubaan juruterbang untuk membunuh diri. Akhbar tabloid Britian Daily Mail pula melaporkan kemungkinan Kapten Zaharie bertindak mensabotaj pesawat kerana kecewa Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

The Daily Mail, London turut mendakwa Kapten Zahari mengalami gangguan emosi beberapa minggu sebelum tragedi itu.

Media asing turut mendakwa warga China Liu Guiqui, ibu kepada seorang penumpang, Li Le, dikasari oleh polis kerana merempuh sidang akhbar yang diadakan pada 19 Mac di Hotel Sama-Sama di Sepang, sebelum beliau sendiri menyangkal laporan itu dalam temu bual dengan China Central Television (CCTV).

Sejurus selepas pengumuman Perdana Menteri bahawa MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, CNN pula menyiarkan berita bahawa MAS hanya memaklumkan kepada kaum keluarga melalui SMS dan ini menimbulkan kemarahan penduduk dunia yang merasakan MAS tidak bertanggungjawab. MAS, bagaimanapun, menafikan perkara itu.

Selain itu, banyak lagi tuduhan liar oleh media antarabangsa termasuk menuduh kerajaan Malaysia sebagai punca utama insiden itu, selain sengaja mewujudkan kebencian waris mangsa terhadap Malaysia.

SALAH GUNA SEMANGAT KEBEBASAN MEDIA

Bukankah laporan media asing itu yang jelas tidak berpaksikan pada pemberitaan adil dan berintegriti, sebenarnya menyalah guna dan melanggar kebebasan media yang dilaung-laungkan?

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata media-media asing mempunyai kecenderungan untuk mensensasikan kehilangan MH370.

Beliau berkata media asing sanggup mengetepikan etika kewartawanan dan bertindak keterlaluan dalam laporan mereka, kononnya atas nama keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan.

Beliau percaya agensi media asing berkenaan sanggup mengada-adakan spekulasi dan teori semata-mata untuk mendapatkan ‘scoop’, melariskan jualan dan mengejar rating, tanpa memikirkan kesannya.

“Jika ini yang dikatakan kebebasan media, karut!. Media seperti ini tidak bertanggungjawab dan tidak beretika apabila sanggup memanipulasi sesuatu berita kononnya ia benar, sedangkan ia tidak.

“Tidak guna mereka (media asing) mengagung-agungkan kebebasan media yang diamalkan sekiranya mereka tidak mengaplikasikan pendekatan pemberitaan adil dan ia tidak wujud dalam penulisan mereka,” katanya kepada Bernama.

TIDAK PATUT BERLAKU

Katanya spekulasi bukan sahaja meresahkan emosi keluarga mangsa tetapi juga menyusahkan dan mengganggu tumpuan pasukan penyelamat kerana terpaksa menyiasat dakwaan mereka meskipun ia sebenarnya hanyalah andaian.

Ismail berkata laporan dengan fakta yang salah dan hentam keromo turut menunjukkan kedangkalan media tersebut apabila jelas tidak melakukan sebarang kajian terlebih dahulu.

Beliau berkata kesilapan kecil seperti yang dilakukan CNN, antaranya menyatakan Kuala Lumpur di Indonesia dan menukar nama Perdana Menteri kepada Najib Rahman tidak sewajarnya dilakukan media yang mempunyai nama besar itu.

“Nampak kecil tetapi amat mengejutkan kerana ia dilakukan oleh media yang dilihat kononnya berwibawa tetapi langsung tidak menyemak perkara yang asas… jangan hanya tahu jadi pakar spekulasi,” katanya.

MALAYSIA JAGA KEBAJIKAN KELUARGA

Ismail berkata hakikatnya tindakan Malaysia yang amat mengutamakan kebajikan dan perasaan keluarga penumpang penerbangan itu, jarang benar dilakukan oleh negara lain ketika berhadapan dengan tragedi tidak dijangka.

“Kerajaan Malaysia menjaga kebajikan dan terlalu memikirkan emosi keluarga mangsa luar negara… kalau ikutkan hanya Malaysia sahaja yang terlalu menitikberatkan aspek kekuatan keluarga sejurus insiden itu berlaku hingga kini.

“Sedangkan selalunya apabila berlaku malapetaka di negara lain, kerajaan mereka mengutamakan dan memberi fokus kepada misi menyelamat terlebih dahulu, barulah kepada kekuatan keluarga.

“Tetapi kita kedua-duanya sama penting, dalam kita fokus pada pencarian pesawat kita juga tidak mengabaikan perasaan keluarga… saya rasa Malaysia terlalu baik dalam aspek sebegini,” katanya.

Katanya meskipun pelbagai tuduhan dilemparkan sama ada oleh media asing mahupun keluarga mangsa di luar negara, namun Malaysia sedikit pun tidak melatah dan berganjak daripada terus memelihara kebajikan mereka.

AKTIF TANGKIS LAPORAN

Ismail berkata media tempatan perlu lebih proaktif menangkis semua laporan negatif dan tidak tepat yang dikeluarkan oleh media asing.

Katanya langkah itu amat penting demi memelihara dan membersihkan imej negara, selain untuk menyebarkan maklumat sahih berhubung insiden itu.

“Media tempatan seharusnya lebih aktif dalam menafikan tuduhan media asing. Media juga perlu berterusan menyeru rakyat Malaysia supaya bersatu tanpa mengira fahaman politik dan memberikan sokongan moral penuh kepada kepimpinan negara ketika melalui waktu sukar sebegini,” katanya.

– BERNAMA

0 comments:

Post a Comment