PEMANGKU Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sekali lagi menegaskan tiada panggilan telefon dari pembantu juruterbang MH370, Fariq Abdul Hamid ketika pesawat itu terbang rendah pada hari ia hilang seperti dilaporkan dalam akhbar.
Bagaimanapun, katanya isu itu dalam perhatian polis dan lain-lain agensi antarabangsa berkaitan dan akan didedahkan apabila masanya tiba.
“Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai perkara itu untuk menghormati keluarga juruterbang dan pembantu juruterbang, dan saya tidak mahu mengganggu penyiasatan yang berjalan sekarang, tidak hanya oleh polis Malaysia tetapi agensi perisikan lain,” katanya.
Hishammuddin juga berkata berdasarkan siasatan semasa, tiada keadaan yang mencurigakan pada manifes penumpang dan polis masih menyiasat empat kemungkinan di atas kehilangan MH370.
“Polis masih menyiasat kemungkinan rampasan , isu keganasan, masalah peribadi dan psikologi. Siasatan masih berjalan,” katanya.
Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac lepas dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di atas Laut China Selatan.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
– BERNAMA
0 comments:
Post a Comment