DUBAI – Rangkaian pasar raya terbesar di Timur Tengah, Lulu Hypermarket, akan melebarkan sayapnya ke Malaysia dengan membuka premis pertamanya di kawasan Masjid India, Kuala Lumpur, tidak lama lagi.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat bertemu dengan beberapa pengarah kanan Lulu Group International, yang memiliki rangkaian lebih 100 pasar raya besar Lulu di rantau ini, di sini atas jemputan pengasas kumpulan rangkaian pasar raya itu, Yousuf Ali M.A., sempena lawatan kerja lima harinya ke Dubai.
Muhyiddin berkata pertemuan itu membolehkan perbincangan lanjut diadakan berhubung langkah-langkah dan cadangan-cadangan berkaitan operasi pasar raya besar yang menjual dan memasarkan produk halal itu di Malaysia.
Beliau berkata Lulu, yang difahamkan akan melabur kira-kira USD200 juta untuk operasi di Malaysia, akan membuka lima cawangan pada peringkat awal di Malaysia, dengan Felda dipilih sebagai rakan kongsi.
“Ini pertama kali kumpulan ini melakukan usaha sama (dengan syarikat lain untuk operasi) kerana mereka sendiri mempunyai keupayaan,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas pertemuan itu dan melawat premis pasar raya Lulu di sini yang turut menjual produk Malaysia.
Perjanjian bagi kerjasama antara Lulu, yang berpangkalan di Abu Dhabi, dengan Felda itu akan dimeterai tidak lama lagi, sama ada di Abu Dhabi, Dubai atau Kuala Lumpur, katanya.
Muhyiddin berkata dalam perbincangan itu juga beliau mencadangkan kerjasama itu diperluas bagi membolehkan produk Malaysia dieksport dan dipasarkan di luar negara seperti produk makanan, sayur-sayuran dan buah-buahan tropika melalui Lulu, yang mempunyai operasi yang luas.
“Dengan kerjasama strategik seperti ini, bermakna produk Malaysia dapat dipasarkan ke Timur Tengah dan di mana-mana cawangan Lulu seperti di Indonesia,” katanya, sambil menambah bahawa Lulu mencatatkan nilai pusingan jualan kira-kira USD5 bilion setahun.
Dalam perbincangan itu juga, Lulu bersetuju membentuk kerjasama bagi menggalakkan penubuhan ladang-ladang kontrak, contohnya bagi mendapatkan keperluan produk sayuran dari kawasan tanah tinggi seperti di Cameron Highlands, katanya.
“Dengan adanya persefahaman ini banyak hasil petani kita dapat dieksport. Kerjasama ladang kontrak boleh memberi peluang pada petani kita,” katanya, sambil menambah wakil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah dimaklumkan bagi mengambil langkah mewujudkan kerjasama rasmi bagi ladang kontrak itu.
Dalam pertemuan itu, Muhyiddin berkata Lulu juga membangkitkan perkara berkaitan logistik, terutama berkaitan pengangkutan udara, bagi membawa produk dan barangan mudah rosak.
Katanya perkara itu akan dibawa kepada perhatian Malaysia Airlines agar mengenakan caj kargo yang tidak terlalu mahal.
Ditanya mengenai kesan pembukaan pasar raya besar Lulu di Malaysia, Muhyiddin berkata pembukaan lebih banyak pasar raya besar akan memberi persaingan yang lebih sihat, yang menguntungkan pengguna.
“Kerajaan tidak sekat, persaingan jadi sihat dan bantu kekalkan harga yang kompetitif,” katanya.
Pengarah Eksekutif Lulu Group International Ashraf Ali M.A. berkata pasar raya syarikat itu tidak menjual alkohol dan akan memastikan harga produknya kompetitif.
Menerusi pakatan dengan Felda, beliau berkata Felda akan mendirikan bangunan manakala Lulu mengurus operasi pasar raya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment