KUALA BESUT – Seorang pekerja syarikat insurans mati lemas ketika mandi-manda bersama rakan-rakannya di Teluk KK, Pulau Perhentian Besar di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata mangsa dikenali sebagai S Shooban Soorai, 30, berasal dari Chemor, Perak.
Beliau berkata mangsa bersama 11 rakannya yang lain telah menyewa sebuah bot untuk bersiar-siar di sekitar perairan pulau itu kira-kira pukul 3.30 petang sebelum mereka mandi-manda di satu lokasi di kawasan Teluk KK tidak jauh dari pantai sedalam kira-kira 2.3 meter.
“Setelah selesai mandi kira-kira jam 5.30 petang, kesemua mereka naik semula ke atas bot tetapi pemandu bot mendapati seorang daripada mereka telah hilang,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.
Beliau berkata mangsa kemudiannya dilihat terapung-apung tidak jauh dari bot.
Kamaruddin berkata semasa ditemui, mangsa didapati memakai jaket keselamatan dan diberitahu rakan-rakannya, mangsa pandai berenang.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian tetapi didapati meninggal dunia.
Mangsa bersama 85 lagi kakitangan syarikat insurans berkenaan dari Pulau Pinang, Kedah dan Perak datang ke Pulau Perhentian Besar untuk bercuti mulai semalam dan dijangka pulang hari ini. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment