Mujurlah ada Mahathir, jika tidak, pastilah sebatang jalan di Putrajaya dinamakan “Lebuh Obama”
Baru-baru ini bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menulis di blognya mengenai peranan pembodek dan penasihat kepada seseorang yang berkuasa sehingga menyebabkan kemarahan rakyat dan seterusnya boleh mengakibatkan seseorang pemimpin itu tersingkir daripada takhta kuasa.
Walaupun beliau menulis secara umum dan tidak menyebut nama mana-mana pemimpin, tetapi jelas difahami bahawa tulisannya itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Najib Razak yang bukan saja dikelilingi paling ramai penasihat, bahkan juga pembodek yang sentiasa mengiyakan apa saja yang dilakukannya.
Yang lebih menarik, sindiran Mahathir ini hanya muncul sehari selepas bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin bercakap dalam satu program bual bicara yang jelas menzahirkan sikap anti Najibnya kerana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu dilihatnya mengamalkan dasar tidak betul dalam mengurus negara dan membangunkan ekonomi.
Saya bukanlah seorang yang anti kerajaan, tetapi saya anti kepada dasar yang lompong dan tidak betul, tegas Daim menjelaskan tentang prinsip dirinya.
Dalam semua kritikan dan kelemahan yang dikaitkan dengan Najib, selain beliau sendiri tidak mempunyai personaliti yang benar-benar kukuh sebagai pemimpin, peranan penasihat yang berada di di sekelilingnya turut dipersalahkan. Walaupun mempunyai paling ramai penasihat, pegawai dah konsultan di sekelilingnya, mereka itu dilihat tidak memberikan nasihat yang betul dan jujur, sebaliknya lebih untuk menyenangkan hati dan menggembirakan Perdana Menteri saja.
Sebab itu, bukan saja ekonomi tidak berkembang, hutang bertambah, pembaziran berleluasa, tetapi juga menyebabkan timbulnya pelbagai masalah politik, sosial dan perpaduan yang tidak berkesudahan.
Sempena kunjungan Presiden Amerika, Barack Obama ke Malaysia bermula Sabtu ini dan menyedari bahawa Najib amat mengkagumi pemimpin kuasa besar itu dan ingin dilihat antara pemimpin negara membangun yang mempunyai hubungan rapat dengannya, salah seorang penasihat Perdana Menteri yang bertaraf menteri dikatakan mahu meletakkan sebatang jalan di Putrjaya dengan nama “Lebuh Obama”.
Jalan yang dikenalpasti untuk ditukar nama itu ialah salah satu jalan yang menjadi laluan menuju beberapa kementerian dan tidak jauh daripada Masjid Putrajaya.
Percubaan meletakkan nama Obama ini tidak lain ialah untuk menggembirakan hati Najib yang tentu akan berbunga-bunga hatinya apabila dipuji oleh Presiden Amerika itu nanti.
Ura-ura pertukaran nama itu telah disampaikan kepada Putrajaya Holding dan turut menjadi perbualan sebilangan kakitangannya dan rata-rata turut tidak bersetuju dengannya.
Kunjungan Obama ini mencatat sejarah kerana kali terakhir seorang Presiden Amerika berkunjung ke negara ini ialah pada tahun 1966 iaitu Lyndon B. Johnson. Berikutan lawatannya itu, sebuah tanah rancangan Felda di Negeri Sembilan kemudiannya telah diberi nama Felda L.B Johnson.
Oleh kerana Najib dapat membawa Obama ke negara ini hanya dalam tempoh lima tahun berkuasa dan mampu menyaingi Mahathir yang memerintah selama 22 tahun tetapi tiada seorang pun Presiden Amerika yang datang melawat, barangkali penasihat itu merasakan pengabadian namanya pada sebatang jalan di Putrajaya adalah suatu penghormatan yang amat tinggi.
Walaupun mengabadikan nama pemimpin besar dunia yang pernah berkunjung ke negara ini bukanlah suatu isu yang sangat besar sebenarnya tetapi meletakkan nama Obama pada sebatang jalan di pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya tentulah tidak begitu sesuai dan seolah-olah menunjukkan negara mahu berkiblatkan kepada kuasa besar itu.
Sekali imbas dan nyata, ia dilihat seperti Najib mahu membodek Obama tetapi yang sebenarnya ia adalah percubaan salah seorang penasihat yang ingin membodek, menyenang dan dan menggembirakan hati Perdana Menteri yang diketahuinya begitu taksub kepada pemimpin kuasa besar itu.
Bagaimanapun apabila percubaan pertukaran nama jalan itu sampai ke pengetahuan Mahathir, orang yang mewujudkan Putrajaya, beliau telah menyuarakan rasa tidak setujunya atas ura-ura itu kepada pengurusan tertinggi Putrajaya Holding dan mahu imej Putrajaya yang ada dikekalkan. Sehingga hari ini difahamkan Putrajaya Holding akur dengan nasihat Mahathir itu.
Namun demikian, sempena kunjungan Obama bermula Sabtu ini, tidak dipastikan sama ada sebatang jalan lain, kampung atau bangunan yang lain akan dinamanakan dengan nama Presiden Amerika itu tetapi yang pastinya Putrajaya tidak berjaya dicemari dengan unsur-unsur pengagungan nama-nama pemimpin luar.
Segala-galanya kerana Mahathir masih ada dan ramai yang masih segan dengannya. Bagaimana agaknya jika selepas beliau tiada lagi dan pemimpin yang ada beserta penasihatnya terus menerajui negara ini? – Shahbudindotcom
0 comments:
Post a Comment