KUCHING – Keanggotan pasukan Ops Cantas Wanita di negeri ini akan ditambah mengikut keperluan semasa, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman.
Katanya, skuad itu juga akan turut diperluaskan secara berperingkat ke bahagian lain negeri ini dengan tumpuan di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.
Beliau berkata, setakat ini pasukan perintis Ops Cantas Wanita itu hanya diwujudkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching dengan keanggotaan sebanyak 20 orang.
“Pasukan perintis Ops cantas wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengadakan penonjolan pertamanya hari ini, ditubuhkan enam bulan lalu dan selepas ini kita akan membuat pemilihan baharu bagi membentuk pasukan serupa di IPD Sibu, Miri dan Bintulu,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Hari Terbuka Pasukan Gerakan Udara PDRM sempena Peringatan Hari Polis Ke-207 di Padang Merdeka di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, hanya anggota yang sihat tubuh badan dan memiliki rekod yang baik akan dipilih menyertai skuad Ops Cantas Wanita.
Menurut Muhammad, anggota yang menyertai pasukan perintis itu akan diberi latihan lanjut berkaitan seni mempertahankan diri, cara menggempur dan membuat tangkapan semasa menyertai operasi Ops Cantas.
“Anggota yang berada dalam pasukan perintis ini juga akan dilatih menjadi jurulatih yang kemudian kembali ke bahagian mereka untuk melatih pasukan masing-masing,” katanya.
Mengenai sambutan peringatan Hari Polis ke-207, Muhammad berkata, sejak dilancarkan pada 24 Mac lalu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk program kepolisan masyarakat, aktiviti menderma darah, gotong-royong, aktiviti keagamaan dan pertandingan golf amal.
Hari terbuka Pasukan Gerakan Udara PDRM itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan pancaragam PDRM Sarawak, persembahan T-Baton PDRM, persembahan Ops Cantas Wanita, pameran, senamrobik dan sukaneka. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment