GARA-GARA takut mengecewakan ibu-bapanya kerana prestasi pelajaran yang agak teruk di sekolah terutama dalam subjek Bahasa Malaysia, seorang remaja bertindak melarikan diri dari kediamannya di Seri Kembangan sebelum ditemui semula, awal pagi tadi.
Soon Jia Liang, 13, ditemui berhampiran kompleks membeli-belah Jaya Jusco, Taman Equine yang hanya lima minit perjalanan dari rumahnya.
Pengerusi Persatuan Polis Komuniti Selangor, Kuan Chee Heng berkata, kira-kira 60 ahli persatuan itu membantu mencari remaja yang hilang sejak tiga hari lalu itu sekitar Seri Kembangan sebelum salah seorang jiran menghubunginya.
“Mereka memberitahu yang mereka melihat Jia Liang berkeliaran di sekitar Jaya Jusco, namun melarikan diri apabila dipanggil,” katanya.
Pencarian itu kemudiannya diteruskan sebelum mereka menemuinya dalam keadaan penat kira-kira jam 2 pagi.
Ketika ditemui, dia masih memakai pakaian yang sama pada hari dia dilaporkan hilang dan terdapat roti dalam poket pakaiannya.
“Saya percaya dia tidak didera. Keluarganya sangat sayangkan dia. Bila mereka dipertemukan semula, Jia Liang menangis dan meminta maaf berkali-kali kepada ibunya,” ujar Kuan.
Menurut ibunya, Yip Kuan Yee, 38, dia menyedari kehilangan anaknya itu apabila pulang ke rumah pada jam 6.30 pagi Selasa selepas menghantar anak perempuannya ke sekolah.
Sebelum itu, Jia Liang mengadu sakit kepala apabila dia mengejutkan remaja itu untuk ke sekolah dan Yip kemudiannya menyuruh anaknya itu supaya berehat saja di rumah.
Oleh: Elza / SiakapKeli.com
(Sumber: The Star / Facebook Malaysian Crime Awareness Campaign)
0 comments:
Post a Comment