Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, April 16, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta kerajaan Pahang mengatasi masalah pencemaran sungai yang didakwa berlaku di Kampung Lalang, Benta dekat Kuala Lipis.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris mendakwa, pencemaran itu berpunca daripada operasi lombong bijih di kawasan itu yang menyebabkan air sungai itu berlumpur dan dipenuhi pasir serta bertukar keruh.

“Pencemaran yang berlaku bukan saja menjejaskan penggunaan harian air sungai tersebut oleh 300 penduduk kampung di sini tetapi juga telah menyebabkan ikan ternakan dalam sangkar di sungai ini turut mati.

“SAM memandang serius kejadian itu dan meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang mengambil tindakan segera menangani masalah itu,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

S.M. Mohamed berkata, pencemaran itu jika dibiarkan berlarutan boleh mengancam alam sekitar dan menjejaskan kesihatan penduduk pada masa depan.

Menurutnya, pengusaha ternakan ikan dalam sangkar dan mereka yang menjalankan aktiviti pertanian akan turut mengalami kerugian lebih besar jika tindakan segera tidak diambil.

“Selain itu banjir kilat mungkin berlaku kerana sungai di sini bertambah cetek akibat mendapan lumpur dan pasir yang dibuang dari kawasan perlombongan terbabit,” dakwanya.

Sehubungan itu, beliau melahirkan kekesalan walaupun masalah itu memberi kesan buruk namun punca pencemaran yang melanda sungai di kampung itu masih belum ditangani.

Tegas beliau, pihak berkuasa negeri, jabatan dan agensi berkaitan perlu mengambil tindakan tegas dengan menguatkuasakan undang-undang agar kejadian itu tidak berulang.

“SAM juga meminta pihak yang bertanggungjawab membayar pampasan kepada penduduk yang mengalami kerugian akibat kematian ikan dan terjejas hasil pertanian berikutan kegiatan perlombongan bijih di kawasan itu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment