MARANG – Pendakwah bebas Ahmad Tarmizi Ali, 29, dan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Nur Hidayah Abdul Rahman, 23, muncul johan qari dan qariah tilawah al-Quran peringkat Terengganu yang berakhir hari ini.
Dengan kemenangan itu, masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000 dan piala pusingan serta akan mewakili Terengganu ke tilawah peringkat kebangsaan dari 13 hingga 17 Mei di Pahang.
Ahmad Tarmizi, bekas juara program realiti televisyen Akademi Al Quran memperoleh markah 94.5 peratus manakala Nur Hidayah, pelajar tahun akhir Diploma Reka Bentuk Perindustrian mendapat markah 87.17 peratus.
Hadiah disampaikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
Ketika ditemui pemberita, Ahmad Tarmizi berkata beliau akan berusaha meningkatkan penguasaan pembacaan agar dapat memberi persembahan terbaik di peringkat kebangsaan nanti.
“Harapan saya pastinya ingin muncul juara di peringkat kebangsaan pula,” katanya yang mempunyai 19 beradik dan tujuh daripadanya hafiz.
Nur Hidayah yang merangkul gelaran johan qariah Terengganu buat kali ketiga berkata beliau mula belajar ilmu al-Quran sejak usia sembilan tahun daripada ayahnya dan mahu mengharumkan nama Terengganu dalam bidang itu.
“Ayah saya, Abdul Rahman Omar sangat tegas mendidik kami 10 beradik…sejak kecil saya belajar al-Quran sebanyak empat kali sehari, kalau letih sangat pun ulang kaji bacaan sekali sehari.
“Saya akan terus belajar agar dapat menguasai al-Quran dengan lebih baik kerana itulah impian saya mahu berdakwah kepada masyarakat,” katanya.
Kemenangan Nur Hidayah itu disambut gembira oleh kembarnya Nur Jannah yang sekadar mendapat hadiah sagu hati dalam tilawah ini. – BERNAMA
Foto: BH Online
0 comments:
Post a Comment