PUTRAJAYA – Acara sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 tahun ini diolah mengikut kesesuaian susulan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 dan MH370 termasuk membatalkan acara tradisi seperti Ambang Merdeka selain acara hiburan dan pertunjukan bunga api.
Menyifatkan sambutan kemerdekaan tahun ini istimewa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ia merupakan sambutan ke-57 dan Malaysia pula mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan ia sesuatu yang tidak akan berlaku lagi.
“Memandangkan negara masih bersedih berikutan tragedi MH17 dan MH370 serta kesedihan yang ditanggung keluarga, maka, sambutan kemerdekaan tahun ini, kita akan membuat penyesuaian.
“Beberapa paparan akan diselitkan untuk memperingati tragedi MH17 dan MH370 kerana ia telah memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau menambah, suasana sambutan kemerdekaan pada tahun ini ialah masih menghormati nahas MH17 namun pada masa sama tetap mengekalkan semangat sambutan hari kemerdekaan.
Ahmad Shabery berkata memandangkan negara masih bersedih berikutan nahas MH17 pada 17 Julai lalu, antara program yang dibatalkan termasuk Konsert Harmoni dan Uniti yang diadakan sempena sambutan kemerdekaan Malaysia dan Indonesia.
“Pada tahun ini, tiada sambutan ambang (merdeka) namun Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan menyampaikan amanat merdeka di MATIC di Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang akan disiarkan secara langsung,” katanya.
Beliau juga berkata acara bunga api anjuran pihak kerajaan juga akan dibatalkan.
Selain itu, Shabery berkata acara perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos akan berjalan secara biasa dan mungkin beberapa aspek akan kurangkan.
“Namun, impaknya tidak dikurangkan kerana bagi kita, walaupun apa yang terjadi pada negara, kita perlu bersatu untuk menunjukkan kesetiakawanan kita dalam mendaulat dan mempertahankan negara serta mengisi makna kemerdekaan,” katanya.
Beliau berkata perarakan itu akan turut disisipkan elemen peringatan tragedi MH17 dan MH370 namun ia tidak ditujukan khas mengenainya.
Ahmad Shabery berkata sambutan kemerdekaan akan bermula pada 15 Ogos melalui program “Doa Untuk Malaysia” mengikut kepercayaan agama masing-masing.
Bagi umat Islam, majlis bacaan Yassin dan selawat akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 15 Ogos, penganut Hindu di Selayang juga pada 15 Ogos, penganut Buddha di Sentul, Kuala Lumpur pada 17 Ogos dan Kristian di Shah Alam pada 17 Ogos.
Pelancaran sambutan Bulan Kemerdekaan dan kibar Jalur Gemilang pula akan diadakan di Putrajaya pada 18 Ogos yang dihadiri warga Putrajaya termasuk petugas sektor awam, katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadiri program itu yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya.
Selain itu, beliau berkata konsert Chow Kit Road 2.0 akan diadakan mulai 29 hingga 31 Ogos di Jalan Tunku Abdul Rahman dengan lagu-lagu patriotisme bagi menyemarakkan semangat patriotik dan cinta kepada negara.
Sambutan Hari Malaysia di Dataran Kipas, Miri, Sarawak akan diadakan seperti biasa pada 16 Sept namun acara bakal disusun mengikut kesesuaian. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment