KUALA LUMPUR – Siapa sangka bermula dengan cakap-cakap, tiga anak muda tempatan memberanikan diri menubuhkan sebuah syarikat yang berjaya membangunkan aplikasi permainan telefon yang mendapat sambutan ramai.
Trio Amjad Hashim, 30, Azrul Anuar, 32, dan Mohd Al Iman Zakaria, 29, daripada Syarikat Fiction Labs Sdn Bhd telah membangunkan ‘Apo Bondo Eh Ni?’, variasi permainan yang memaparkan beberapa gambar berbentuk emoji dengan pengguna dikehendaki meneka perkataan yang bersesuaian dengannya.
Aplikasi dalam Bahasa Malaysia itu telah dimuat turun oleh pengguna Android seluruh dunia.
Menurut Azrul, pengarah teknikal syarikat itu, aplikasi permainan Apo Bondo Eh Ni? memberi keselesaan dan pengalaman menarik kepada pengguna dalam menyelesaikan emoji – imej kecil digital atau ikon yang digunakan untuk menyatakan idea atau emosi dalam komunikasi elektronik.
“Terdapat 530 soalan dalam kamus data, ada simpulan bahasa, budaya, gambar, ejaan, tatabahasa yang memerlukan pengguna menyelesaikannya sebelum beralih ke tahap seterusnya,” katanya kepada Bernama.
Jelas Azrul, permainan itu turut hadir dengan sokongan pembelian syiling maya dalam aplikasi sekiranya pengguna mengalami kebuntuan dan gagal menyelesaikan sesuatu soalan.
Beliau berkata pengguna yang berminat hanya perlu memuat turun permainan yang mula dibina dan berada sejak Mac di Google Play Store.
Sementara itu, Amjad, selaku pengarah urusan syarikat, memberitahu selepas sebulan permainan itu dilancarkan, respons yang diterima sangat menakjubkan sehingga ada peminat yang menubuhkan kelab peminat di media sosial.
Katanya, ia antara lain bagi bertukar jawapan dan berkongsi tips dalam menyelesaikan emoji dan secara tidak langsung mempromosikan permainan dan syarikat berkenaan.
Beliau berkata aplikasi itu pernah mendapat status ‘Top New Free’ dan ‘Top Free’ di Google Play Store sehingga menewaskan aplikasi permainan popular seperti Candy Crush dan lain-lain lagi.
Dalam pada itu, Mohd Al Iman, yang bertindak sebagai pengarah pembangunan perniagaan syarikat itu, berkata selain aplikasi permainan tersebut, pihaknya juga akan membangunkan applikasi telefon berkaitan pemasaran, kewangan dan pengurusan sesebuah syarikat.
“Kakitangan mana-mana syarikat kelak boleh melihat struktur kerja, carta aliran kerja, rekod kewangan dan sebagainya hanya dengan menggunakan aplikasi tertentu yang diwujudkan khas untuk mereka.
“Ini akan memudahkan kerja mereka kerana segalanya berada di hujung jari kerana ia berkonsepkan aplikasi mesra pengguna seperti aplikasi permainan,” katanya.
Jelasnya, ketika ini, pihaknya masih melakukan rundingan dengan beberapa pelanggan sedia ada dan berharap rancangan terbaharu itu dapat diterima ke arah memperluaskan skop perniagaan mereka.
Beliau berharap syarikatnya memperoleh peruntukan atau geran kerajaan untuk membolehkannya terus berkembang sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment