KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pengedar dadah cuba menyembunyikan syabu seberat 4.3 kilogram dalam lapan kotak susu tidak berhasil apabila taktik itu berjaya dihidu sepasukan anggota polis yang memberkasnya di Chow Kit, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan rondaan terserempak dengan kereta yang dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 10.30 malam.
“Kita berjaya memintas kereta Proton Waja yang dinaiki oleh dua suspek terbabit selepas mereka cuba turun daripada kenderaan untuk melarikan diri. Salah seorang daripada mereka berjaya ditahan,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta berkenaan, polis menemui 12 kotak susu, lapan daripadanya berisi syabu bernilai RM500,000.
“Kita percaya sindiket pengedaran dadah berkenaan cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan kaedah itu,” katanya.
Zainuddin berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 57 tahun itu merupakan warga Pakistan berstatus pemastautin tetap.
“Lelaki itu ditahan reman enam hari untuk siasatan lanjut, kita juga dalam usaha mengenal pasti dan memburu rakan suspek yang masih bebas,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.
0 comments:
Post a Comment