Kubur Misteri Belakang Rumah
IPOH - Sepasang suami isteri terkejut selepas menemui sebuah kubur kecil dan kelengkapan pengurusan jenazah di belakang rumah mereka d Jalan Raja, Kampung Manjoi di sini pagi semalam.
Noriasha Ahmad, 56, berkata, kelmarin, suaminya, Ahmad Tohar Kulup, 56, bertanyakan kepadanya sama ada dia ada menanam sebarang tanaman selepas melihat bonggol tanah menyerupai kubur di belakang rumah mereka.
“Dia (Suami) ingat ia adalah tanaman yang baru ditanam ataupun sampah ditimbus dengan tanah kerana ditutup buluh serta rimbunan daun.
“Hairan dengan apa yang diberitahu itu, saya memeriksa belakang rumah jam 8 pagi tadi (semalam) untuk melihat," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.
Noriasha berkata, dia terkejut apabila menemui timbunan tanah menyerupai kubur dan sebungkus plastik hitam berisi kapas serta kapur disebelahnya.
Katanya, bimbang dengan penemuannya itu, dia segera menghubungi polis.
“Polis yang bergegas datang dan mengorek tanah sedalam dua meter hanya menemui kelengkapan pengurusan jenazah. Mujur tiada mayat manusia yang ditemui,” katanya.
Menurutnya, dia khuatir ada pihak yang cuba melakukan perbuatan khuarafat seperti pemujaan dan mengamalkan ilmu hitam.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 9.15 pagi semalam dan hanya menemui kelengkapan pengurusan jenazah dan tiada mayat dijumpai.
“Pihak kami masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti siapakah dalang perbuatan tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai insiden itu, penceramah, Mohammad Kazim Elias berkata, penemuan kubur bersama kelengkapan mayat itu berkemungkinan antara kaedah untuk membuang saka dan amalan ilmu hitam.
“Lazimnya perkara khurafat seperti itu dilakukan waris terdekat pemilik saka bertujuan membuang saka supaya tidak diganggu pada masa hadapan.
“Namun dalam kejadian tersebut, penghuni rumah tidak perlu bimbang kerana peralatan ditemui itu bukan milik mereka.
“Justeru, penghuni rumah berkenaan disarankan mengamalkan ayat al-Quran seperti surah al-Baqarah untuk mengelak gangguan,” katanya. - Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment