Labur RM600 Juta Bina Kilang Enjin
NEGERI SEMBILAN menerima pelaburan baharu berjumlah RM600 juta daripada Daihatsu Motor Company (Daihatsu) dan rakan kerjasamanya, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang akan membina sebuah kilang pengeluaran enjin di Sendayan.
Kilang yang akan dibina di atas tapak seluas 35 ekar itu merupakan pelaburan kedua Daihatsu di Sendayan selepas kilang transmisi automatik elektronik Akashi Kikai Industry Malaysia Sdn Bhd (Akashi Kikai).
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berbesar hati apabila menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin; Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd, Yasumitsu Morita dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, kelmarin.
“Mereka menyatakan hasrat untuk melabur di Sendayan dengan membina sebuah kilang bagi pengeluaran enjin yang satu-satunya akan beroperasi di luar Jepun.
“Selain itu mereka turut memohon untuk mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri bagi membolehkan menjalankan pembangunan. Kita bersedia memberi apa juga komitmen,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Startegi Lautan Biru (NBOS) Pentadbiran Kerajaan Negeri Bahagian Kesihatan, peringkat Negeri di Padang Awam Kampung Jijan, dekat sini.
Menurutnya, dengan terbinanya kilang enjin baharu itu nanti, ia merupakan satu-satunya kilang yang akan membangunkan 100 peratus komponen di negara ini termasuk dari segi mengeluarkan dan menjual enjin-enjin automotif dan juga mereka bentuk serta mengeluarkan peralatan atau alat ganti enjin, selepas Proton.
“Mereka menjangkakan enjin pertama akan dikeluarkan pada Mei 2016,” katanya. - Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment