Lee Hsien Loong Balas Layanan Baik Najib
SINGAPURA – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong memberi layanan amat mesra kepada rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai membalas layanan yang diterimanya semasa pertemuan kedua-dua mereka di Putrajaya pada April lalu.
Lee juga berjanji akan terus mencari peluang untuk bekerjasama dan memperkukuh hubungan dengan Malaysia.
Mengimbau kembali lawatannya ke Putrajaya semasa Permukiman Pemimpin-Pemimpin, beliau menyifatkan rakan sejawatannya itu sebagai hos yang amat baik.
“Semasa di luar mesyuarat formal, kami menikmati durian Musang King dan belayar sekitar Tasik Putrajaya. Saya gembira untuk membalas layanan itu semalam (Rabu) apabila Perdana Menteri Najib mengunjungi kita.
“Perdana Menteri Najib dan saya melancarkan bersama cawangan luar negara pertama Agrobazaar Malaysia di Sultan Gate (pada Rabu). Idea tersebut timbul semasa permukiman kami pada April.
“Agrobazaar ini akan menjadi pusat sehenti bagi produk berasaskan pertanian Malaysia termasuk, sudah tentu durian,” katanya dalam posting Facebooknya pada Khamis.
Selepas membawa Najib melawat Hab Sukan Singapura dan Stadium Nasional, “Kami kemudiannya makan malam di My Briyani House. Kami menikmati makanan yang dihidangkan, terutama apabila tetamu saya mendapati chefnya adalah dari Johor.
“Kami akan terus mencari peluang untuk bekerjasama dan memperkukuh hubungan dengan Malaysia,” tambahnya.
Najib yang ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor berlepas pulang semalam selepas lawatan kerja sehari untuk melancarkan Agrobazaar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di republik ini. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment