Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, August 29, 2014



KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 kali ini amat istimewa dan bakal mencatat sejarah kerana buat julung kalinya Amanat Merdeka akan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara langsung kepada seluruh rakyat Malaysia.

Memilih Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang sebagai lokasi, majlis dikendalikan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan disiarkan secara terbuka dan langsung menerusi radio dan televisyen.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata penyampaian amanat pada malam ambang kemerdekaan (30 Ogos) itu akan disampaikan di hadapan menteri-menteri kabinet, para pemimpin masyarakat, wakil-wakil badan bukan kerajaan serta wakil-wakil pelajar dari IPTA dan IPTS serta personaliti dan ikon negara dalam pelbagai bidang.

“Sebelum ini penyampaian amanat merdeka yang dibuat perdana menteri dirakam sebelum disiarkan dan ia bersifat formal. Oleh kerana itu, pada tahun ini kita membawa kelainan.



“Pada sambutan kali ini perdana menteri akan berucap di hadapan wakil-wakil masyarakat secara langsung untuk menyampaikan isi kandungan amanatnya”, katanya selepas meninjau persiapan untuk acara di dewan berkenaan.
    
MATIC YANG BERSEJARAH

Matic dipilih sebagai lokasi penyampaian amanat kerana bangunan bersejarah, yang terletak di Jalan Ampang itu, telah menyaksikan pelbagai peristiwa penting dalam catatan sejarah negara.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui sejarah bangunan lama yang kini telah dibaikpulih dan dijadikan pusat pelancongan negara.

Pada asalnya ia dibina sebagai kediaman keluarga oleh seorang hartawan getah dan timah bernama Eu Tong Seng pada tahun 1935. Ia dibina di atas dusun rambutan seluas 2.6 hektar.

Bagaimanapun, pada tahun 1941 iaitu awal Perang Dunia Kedua, ia diambilalih oleh kerajaan British dan dijadikan pangkalan tenteranya.

Apabila Jepun menduduki Tanah Melayu, mereka pula menjadikan bangunan berkenaan sebagai pangkalan tentera sehingga tahun 1945.

PERSIDANGAN PERTAMA PARLIMEN

Namun, sejarah yang dicatat di bangunan ini selepas peristiwa pendudukan Jepun itu lebih bermakna kepada negara.

Pada 24 Feb, 1948, berlangsung satu peristiwa penting dalam lipatan sejarah negara apabila Majlis Persekutuan Tanah Melayu mengadakan mesyuarat pertamanya di sini.

Sejak itu, bangunan berkenaan sering menjadi lokasi terpilih dalam beberapa acara penting negara termasuklah sebagai lokasi persidangan pertama Parlimen Malaya pada 1959.

Malah di sini juga pernah berlangsung tiga majlis pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong termasuk Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad.
     
AMBIL SEMANGAT DAN SIMBOLIK MATIC

Peristiwa-peristawa penting di atas menjadi faktor utama Dewan Tunku Abdul Rahman, Matic dipilih sebagai lokasi penyampaian Amanat Merdeka oleh Perdana Menteri kali ini.

Malah ia juga signifikan dengan tema sambutan kali ini iaitu “Malaysia… Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta”.

Selain menyampaikan Amanat Merdeka, pada majlis yang sama Perdana Menteri juga bakal melancarkan Setem Merdeka.

Sungguhpun bakal berlangsung dalam suasana sederhana ekoran tragedi MH17 dan misteri kehilangan MH370, sambutan Hari Kemerdekaan negara pada tahun ini lebih istimewa berbanding sambutan sebelum ini.

Ini kerana sambutannya yang memasuki kali ke-57 bersamaan dengan tahun negara mencapai kemerdekaan iaitu pada 1957. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment