Siti Sarah Raisuddin |
PETALING JAYA: Penyanyi Siti Sarah Raisuddin, mengakui memori bersama arwah ibunya Nur Aini Mohamad yang meninggal dunia ketika usia 56 tahub pada Jun tahun lalu masih lagi segar di ingatan.
Malah Sarah, 31, berkata, ada masa-masa tertentu yang membuatkan dia lupa bahawa ibunya sudah tiada namun masih lagi mahu menghubungi wanita itu seperti yang sering dilakukannya ketika ibunya masih hidup.
"Sebelum ini saya selalu bertanyakan resipi masakan daripada arwah ibu dan pernah sekali saya teringin memakan sesuatu dan telah ke pasar untuk memberli bahan-bahannya. Tiba-tiba saya lupa apa yang patut dibeli dan terdetik mahu menelefon ibu.
"Beberapa minit kemudian baru saya tersedar bahawa ibu dah tiada. Ketika itu juga menangis. Susah nak cakap perasaan itu, walaupun reda dengan pemergiannya, kesannya sangat mendalam," katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, Sarah berkata, sambutan Aidilfitri pada tahun ini pasti membuatkan perasaannya sebak kerana tahun ini merupakan pertama kali dia tidak menyambut bersama ibu di sisi.
"Bayangkan kalau hari-hari biasa pun saya sedih, apatah lagi apabila nak sambut Raya. Kami selalu mengemas dan memasak sama-sama. Memori itu masih segar di ingatan.
"Dan kali ini arwah ibu sudah tiada untuk melakukan kerja-kerja rumah bersama saya," ujarnya. - mStar.com.my
0 comments:
Post a Comment