KUALA LUMPUR — Pelan pemulihan Malaysia Airlines (MAS) akan termasuk pemberhentian kira-kira 6,000 kakitangan dari semua bahagian syarikat berkenaan, kata Pengarah Urusan Khazanah National Bhd, Tan Sri Datuk Azman Mokhtar.
Khazanah Nasional telah mengumumkan pelan pemulihan RM6 bilion untuk MAS yang akan menyaksikan syarikat penerbangan nasional yang bermasalah itu menyuntik kecekapan dengan mengurangkan bilangan kakitangan yang berjumlah hampir 20,000 sebanyak 30 peratus dan memberi tumpuan semula ke atas laluan
serantau yang menguntungkan, berbanding destinasi jarak jauh yang merugikan. “Butiran terperinci masih diusahakan oleh MAS tetapi ia akan meliputi semua bahagian.
“Sebanyak RM1.6 bilion akan diperuntukkan untuk pemberhentian, latihan semula kemahiran serta penempatan semula kakitangan,” kata Azman kepada pemberita selepas mengumumkan pelan 12 perkara bagi memulihkan MAS di sini hari ini.
Menurutnya, perbincangan telah diadakan pagi ini dengan kesatuan sekerja MAS mengenai pelan penstrukturan semula itu, tetapi enggan mendedahkannya.
Di bawah pelan 12 perkara itu, syarikat baharu yang dijangka ditubuh menjelang Julai 2015, akan mempunyai kira-kira 14,000 kakitangan.
Khazanah memiliki hampir 70 peratus saham MAS.
“Adalah penting syarikat baharu itu bermula dengan langkah yang betul di segi jumlah kakitangan serta amalan kerja,” kata Azman.
Khazanah akan melabur dalam pusat latihan semula kemahiran, yang akan ditempatkan di Subang, khusus untuk memberi latihan semula kakitangan MAS yang tidah berpindah ke syarikat baharu berkenaan.
Khazanah dan MAS juga telah mengadakan kerjasama dengan Scicom (MSC) Bhd dan Sutherland Global Services untuk menyediakan latihan kepada kakitangan MAS dan menyerap sebahagian daripada mereka. — BERNAMA
0 comments:
Post a Comment