KUALA LUMPUR – Primadona filem Melayu, Azean Irdawaty,62, yang kini sedang menderita penyakit Lymphedema kelihatan semakin bertambah uzur baru-baru ini.
Azean mengidap Lymphedema iaitu kesan akibat pembedahan membuang 16 kelenjar yang dilakukan pihak hospital ketika menghadapi barah payu dara sebelum ini.
Namun begitu, menerusi Mstar.com.my hari ini, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, YKN bersedia membantu meringankan beban kos rawatan seniwati itu.
“Selepas mendapat tahu bebanan yang ditanggung Azean, saya terus bercadang mahu melawat serta melihat sendiri keadaan Azean.
“Untuk hari ini (Selasa), pihak kami hanya menyumbangkan sedikit wang untuk kegunaan harian Azean dan akan melawatnya sekali lagi bagi menghulurkan bantuan daripada segi kos rawatan lain,” katanya semasa membuat lawatan ke rumah Azean, di Bandar Utama, hari ini.
Dalam pada itu, Sharizat turut memuji semangat pelakon itu yang tidak pernah putus asa dalam melawan penyakitnya.
“Satu perkara yang membuatkan saya kagum dengan Azean kerana dia mempunyai pemikiran yang sangat positif dan semangat yang kuat.
“Malah, saya percaya menerusi lawatan seperti ini daripada pihak saya mahupun rakan-rakan Azean sendiri, dirinya akan rasa dihargai,” katanya.
Azean pula berkata, dia bersyukur kerana pihak YKN sudi tampil untuk membantunya.
“Bukan murah untuk membuat rawatan yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
“Semangat saya yang mahu hidup lebih lama membuatkan saya buang rasa malu dan terpaksa meminta bantuan teman-teman untuk mencari sesiapa yang boleh menghulurkan sedikit bantuan.
“Alhamdulillah, kehadiran beliau (Shahrizat) membuatkan saya terharu dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak YKN,” katanya.
0 comments:
Post a Comment