KUALA LUMPUR : Guna baju labuh untuk sembunyi barang. Itulah taktik
seorang wanita ketika mencuri lima karton minuman keras di sebuah pasar
raya dekat sini baru-baru ini.
Kejadian yang berlaku pada 27 September lalu di KK Supermart di Taman
Bukit Serdang di sini dilakukan secara berkumpulan yang turut melibatkan
dua lelaki dan seorang kanak-kanak.
Menurut Pengurus Kawalan Keselamatan KK Supermart, S. Selvakumar,
kejadian hanya disedari selepas dia mendapati stok simpanan minuman
tersebut berkurangan pada 29 September lalu.
“Apabila meneliti semula rakaman televisyen litar tertutup (CCTV),
beberapa suspek didapati berpakat mencuri lima karton minuman keras yang
setiap satunya seberat 12 kilogram dan satu pek minuman Milo.
“Lebih mengejutkan, rakaman itu menunjukkan barang-barang itu dicuri
oleh seorang wanita yang menyembunyikannya di celah paha sebelum dibawa
keluar,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan
Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
0 comments:
Post a Comment