Hanya Sempat Selamat Ubat Ibu - AMPANG : “Hanya sempat selamat ubat mak,” kata Kamariah Karim, 50, selepas rumah diduduki ibunya yang uzur, Zabedah Puteh, 76, hangus terbakar dalam kejadian di Jalan Raya 8, di Kampung Pandan Dalam, di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, kebakaran itu disedari jam 8.40 malam selepas mendengar jeritan jiran yang memaklumkan rumahnya terbakar.
Katanya, ketika itu, dia bersolat Isyak manakala ibunya makan malam.
“Ketika kejadian, adik lelaki saya hanya sempat mengambil ubat kencing manis dan darah tinggi ibu kerana api marak begitu cepat.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kami selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurut Eksekutif Editor Foto The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Johari Embi yang juga menantu Zabedah, dia menerima panggilan mengenai kejadian jam 9 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian dari pejabat di Bangsar.
“Ibu mentua saya tinggal di rumah berkenaan sejak lebih 50 tahun lalu bersama adik ipar, Khalid Karim, 47 tahun.
“Terlalu banyak kenangan di rumah berkenaan, namun kami reda dan bersyukur mereka semua terselamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Mazlan Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran dua rumah berkenaan jam 8.53 malam dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.
“Sebanyak tujuh jentera termasuk dua ‘water tanker’ daripada lima balai bomba dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kami menghadapi kesukaran memadam api akibat tekanan air yang sangat rendah di kawasan berkenaan, namun api berjaya dikawal jam 11.19 malam sebelum dipadam sepenuhnya lima minit kemudian,” katanya.
Menurutnya, punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – Metro
0 comments:
Post a Comment