Awie Jaga Suara Kerana Fobia 2 Kali Pembedahan - KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon Awie kini lebih berhati-hati dalam aspek penjagaan vokal selepas dua kali menjalani pembedahan akibat kerosakan peti suara.
Pemilik nama penuh Ahmad Azhar Othman, 45, berkata, kesengsaraan yang ditanggung ekoran pembedahan pada 1994 dan 2007 itu membuatkan dia fobia sehingga hari ini.
“Kalau boleh saya tidak mahu (pembedahan) untuk kali ketiga. Cukuplah dua kali. Saya jadi takut kerana ia memang menyakitkan.
“Sebab itu saya kena selalu beringat sebelum peti suara rosak lagi,” luahnya ketika ditemui mStar Online di sini, baru-baru ini.
Vokalis kumpulan rock Wings ini berkata, dia menitikberatkan pengambilan makanan dan minuman serta senaman tekak yang berterusan bagi memelihara peti suaranya.
“Makan dan minum memang kena jaga terutamanya saya elakkan makanan berminyak dan pedas yang keterlaluan.
“Selain itu, saya kena selalu praktis untuk kuatkan vokal dalam peti suara dari masa ke semasa,” ceritanya yang bakal mengadakan konsert Wings Rockestra bersama kumpulannya pada 26 hingga 30 April depan di Panggung Sari, Istana Budaya di sini.
Konsert selama dua jam setengah itu bakal menyaksikan Wings menyampaikan 20 lagu dengan diiringi 43 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).
Ditanya mengenai persediaan pada aspek vokal, Awie berkata, latihan yang berterusan akan menguatkan peti suaranya untuk beraksi kelak.
“Sebenarnya takut juga untuk adakan konsert di sini (IB). Jangkaan orang tinggi pada kami jadi persiapan juga perlu menepati jangkaan.
“Yang penting, kena jaga kesihatan dan buat latihan vokal yang berterusan bagi menguatkan peti suara,” tuturnya.
Dalam pada itu, Awie berkata, proses memasukkan vokal untuk album terbaharu Wings berjudul Menakluk Kosmos masih tertangguh ekoran kesibukan jadual lakonannya sebelum ini.
“Saya baharu sempat masukkan vokal untuk satu lagu sahaja daripada 11 trek dalam album itu.
“Saya hargai tolak ansur dan sikap memahami Joe, Eddie dan Black kerana kesibukan jadual kerja saya yang lain.
“Lagi pun, rakaman vokal ini sering tertangguh kerana selepas 11 tahun tidak rakam album rock, susah untuk cari ‘mood’ itu,” jelasnya dalam berseloroh. – MStar Online
0 comments:
Post a Comment