Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, July 15, 2013

No Comment
Colek Muncul Hanya Semasa Ramadan Di Kelantan

KOTA BHARU – Kelantan amat terkenal dengan makanan yang mempunyai nama agak pelik seperti ‘tahi itik’, ‘ulat bulu’ dan ‘che mek’, namun itulah makanan tradisi rakyat negeri ini yang tiada bandingan.
Selain makanan tradisional itu, ada sesuatu yang lebih istimewa dan ditunggu rakyat Kelantan pada setiap Ramadan iaitu ‘colek’, sejenis juadah yang lazimnya dimakan selepas umat Islam menunaikan solat tarawih.
Colek ialah masakan ayam, peparu, perut lembu, udang, sotong, cucur dan sosej yang dicelup tepung sebelum digoreng dan dimakan dengan kuah pencicah terdiri daripada kuah pedas dan manis.
Selain itu, colek juga merangkumi pelbagai aneka buah-buahan yang dipotong halus yang dipanggil penduduk Kelantan sebagai colek buah tetapi dikenali sebagai rojak buah di negeri lain.
Harga colek bergantung kepada kandungan dan saiznya malah ada kalanya mencecah ratusan ringgit namun dek kerana keenakannya, ramai yang sanggup membayar.
Peniaga di Jalan Kampung Sireh, Noraini Abdul Hamid, 39, berkata gerai coleknya menjadi tumpuan sepanjang Ramadan sejak hampir 10 tahun lalu.
“Selepas tarawih kira-kira 10 malam, mereka yang baru pulang masjid dan surau akan berkunjung ke gerai untuk menikmati colek sambil santai bersama rakan – rakan,” katanya yang menjual pelbagai jenis colek seawal 6 petang setiap hari.
Beliau berkata perniagaan colek itu boleh memberi keuntungan tetapi harga bahan mentah seperti ayam, sotong dan udang tidak menentu.
Bagi secucuk pelbagai sosej, beliau menjualnya antara RM1 hingga RM5 berdasarkan saiz.
Noraini yang dibantu suami, Nurmanto Ariffin, 42, berkata apa pun jenis hidangan yang dijadikan colek itu, beliau akan memastikan ia dihidang secara segar.
Sambutan hangat untuk makanan itu juga dapat dilihat di sebuah gerai menjual colek di Cherang yang padat dengan pelanggan yang terpaksa beratur panjang setiap malam.
Kehadiran begitu ramai pengunjung juga menyebabkan kawasan jalan utama sekitarnya begitu sesak sehingga pemilik gerai itu mengupah pengawal lalu lintas untuk melicinkan perjalanan kenderaan di kawasan gerai itu.
Siti Norlida Mohd Akhir, 42, berkata beliau akan datang sekali sekala ke gerai berkenaan untuk membeli colek yang didakwanya antara paling sedap.
“Saya suka colek di sini kerana sedap berbanding di tempat lain.
Kuahnya istimewa…tak kisahlah kena beratur untuk membeli atau mendapatkan tempat duduk di gerai ini,” katanya.
Colek turut dimasukkan dalam kalendar pelancongan Kelantan untuk mereka yang berkunjung ke negeri ini pada bulan Ramadan menikmatinya.
Seorang pelancong dari Perak, Rosmawati Zawawi, 25, berkata beliau mendapat maklumat mengenai makanan itu melalui agensi pelancongan di negerinya supaya mencuba colek selain bertarawih di tempat terbuka di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini.
“Memang meriah sungguh puasa di Kelantan dan saya gembira dapat menikmati colek yang sememangnya tidak ada di tempat saya di Kuala Kangsar,”  katanya yang hadir bersama rakan-rakan untuk bercuti di sini. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment