KUALA LUMPUR – Perlaksanaan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac ini dilanjutkan sehingga 30 April 2014.
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Priscilla Alfred berkata, perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Pelan Kontigensi Pengagihan Bekalan Air Berjadual semalam.
“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kerajaan Selangor telah memutuskan bahawa perlaksanaan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga di Lembah Klang dilanjutkan sehingga 30 April 2014.
“Bagaimanapun, pelan catuan ini terus dikaji oleh pihak kerajaan Selangor dan ia bergantung kepada keadaan semasa dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan oleh Syabas kepada pengguna dari semasa ke semasa,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Priscilla dalam pada itu berkata, hujan di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang sejak kebelakangan ini tidak dapat meningkatkan paras empangan dan aliran air di Sungai Selangor menyebabkan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga masih terus dilaksanakan.
Menurutnya, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga dilaksanakan berikutan pengawalan dan pengurangan pelepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor dan empangan Klang Gates masing-masing sebanyak 500 Juta Liter Sehari (JLH) dan 30 JLH masih diteruskan oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd seperti diarahkan Kerajaan Selangor.
Justeru, beliau meminta orang ramai mengelakkan pembaziran dan tidak menggunakan air untuk tujuan kurang penting seperti mencuci kenderaan, mencuci premis kediaman, mencuci longkang, mengisi kolam renang, menyiram pokok bunga dan menyiram bumbung premis kediaman/perniagaan semata-mata untuk menyejukkan keadaan.
Sehubungan itu juga, pengguna diminta tidak melakukan sebarang kerosakan terhadap sistem bekalan air Syabas khususnya jajaran paip, rumah pam atau kolam kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu akan menyebabkan kesulitan.
“Syabas berhak mendakwa pihak yang tidak bertanggungjawab sekiranya didapati bersalah melakukan kesalahan tersebut selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
“Pada masa yang sama, pengguna digalakkan melayau laman web www.syabas.com.my untuk mendapatkan perkembangan terkini dan informasi berkaitan berhubung pelan catuan bekalan air yang sedang dilaksanakan ini,” katanya. – SiakapKeli.com
0 comments:
Post a Comment