Pesawat pengangkut II-76 tentera China muncul di ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Perth ketika seorang pegawai tentera laut Amerika sedang menerangkan bagaimana dia mengawal pesawat pemantaunya yang canggih.
Leftenan Komander Adam Schantz menerangkan tentang langkah-langkah, termasuk pengawasan 24 jam dan mengenai pasukan gerak cepat, sambil menjeling ke arah pesawat Cina itu yang sedang mendarat beberapa meter dari pesawat Amerika P8 Poseidon di bawah jagaannya.
Operasi mencari pesawat MH370 yang hilang, telah mempertemukan rakan-rakan yang dilihat ganjil.
“Ya, ia sedikit berbeza,” kata Schantz sambil ketawa.
Sekurang-kurangnya enam negara – Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, Jepun, New Zealand dan Australia – menyertai operasi mencari MH370 hampir tiga minggu lalu yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi di luar pantai barat Australia.
Tahap kerjasama ketenteraan antara kumpulan negara tersebut yang antaranya dianggap ‘musuh tradisi’, tidak pernah berlaku sebelum.
Tetapi sebagai sekutu yang bergabung tenaga dalam operasi untuk menyelesaikan misteri kehilangan pesawat MH370 itu, mereka sedar tentang sempadan kerjasama, diplomatik atau ketenteraan.
“Apabila mereka di luar sana dan Amerika Syarikat menggunakan sensor, anda boleh yakin bahawa pihak Cina sedang merekodkan semua itu dan menganalisis bagaimana ia dilakukan kerana itu sangat berguna dalam memahami bagaimana P8s berfungsi,” kata David Brewster, felo Pusat Pengajian dan Pertahanan Strategik di Universiti Kebangsaan Australia, kepada Reuters.
Poseidon, sebuah pesawat anti kapal selam dan pemintasan isyarat elektronik yang dikeluarkan oleh Boeing Co, adalah yang tercanggih bagi jenisnya. Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan semuanya beroperasi menggunakan model sebelumnya, P3 Orion, manakala China menggunakan IIyushin buatan Russia.
P8 baru mula digunakan pada tahun 2013 dan maklumat mengenai sensor yang canggih itu boleh menjadi sasaran utama perisikan Cina.
“Saya tidak terkejut melihat banyak langkah keselamatan. Ada banyak sensitiviti politik,” kata Brewster .
0 comments:
Post a Comment