PETALING JAYA – Penyanyi Encik Mimpi bertegas untuk terus berahsia mengenai statusnya yang didakwa sudah berkahwin baru-baru ini.
Encik Mimpi, 25, berkata, dia tetap dengan pendiriannya iaitu tidak akan mendedahkan hal peribadinya termasuklah enggan mengia mahupun menafikan bahawa dia sudah bergelar suami orang.
“Saya tidak akan mengia atau nafikan dakwaan dikatakan sudah berkahwin. Biarlah ia menjadi rahsia Encik Mimpi.
“Saya mahu orang melihat saya istimewa dan misteri. Juga saya mahu dinilai menerusi bakat nyanyian saya,” katanya yang dihubungi mStar Online pada Ahad.
Sebuah akhbar mingguan pada Ahad melaporkan penyanyi yang popular dengan lagu Rindukanlah itu sudah pun mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya baru-baru ini.
Namun tetamu-tetamu yang hadir tidak tahu bahawa pengantin lelaki itu adalah Encik Mimpi, penyanyi lelaki bertopeng.
Sementara itu, Encik Mimpi mengakui menyedari bahawa terdapat beberapa pihak yang mengambil kesempatan terhadap imejnya yang bertopeng.
“Memandangkan saya bertopeng, ada pihak mengambil kesempatan pula mengakui diri mereka adalah Encik Mimpi. Ada juga berbuat demikian semata-mata mahu memikat wanita yang diminati mereka.
“Bagaimanapun saya tidak mempunyai masalah tentang perkara itu kerana saya sudah lama tahu kesan-kesan sebegini akan berlaku apabila saya tampil dengan imej bertopeng,” ujarnya. – mStar Online
0 comments:
Post a Comment