Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, April 16, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Mahkamah sivil boleh berlaku adil dalam memutuskan pertikaian membabitkan hak penjagaan anak antara ibu bapa yang beragama Islam dan bukan Islam dengan meletak beberapa syarat, jika membuat keputusan yang memihak kepada pihak bukan Islam, kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah.

Beliau berkata syarat itu termasuk tidak membiarkan kanak-kanak beragama Islam makan makanan yang tidak halal, atau cuba menukar agama mereka.

“Saya percaya kedua-dua ibu bapa beragama Islam dan bukan Islam boleh berkongsi hak penjagaan anak yang beragama Islam,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Bernama pada Selasa.

Mohd Noor berkata seorang ibu bapa bukan Islam yang mendapati bekas suami atau isteri memeluk agama Islam dan bertindak menukar agama anak mereka tanpa pengetahuan beliau, hendaklah membawa perkara itu atau mencabarnya di mahkamah sivil.

“Sebagai contoh, apabila seorang bapa memeluk agama Islam dan membawa (menukar) anaknya ke dalam agama itu, si isteri tidak boleh ke mahkamah syariah untuk menuntut keadilan sebaliknya beliau perlu mengemukakan permohonan di mahkamah sivil.

“Mahkamah sivil pula perlu memanggil kedua-dua ibu bapa bukan Islam dan beragama Islam serta mendengar hujah mereka sebelum membuat keputusan tanpa mengganggu sebarang perintah yang dibuat mahkamah syariah,” katanya.

Mohd Noor juga berkata dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia, Islam perlu menunjukkan teladan yang baik.

Beliau berkata tidak salah memberi hak penjagaan anak kepada seorang bapa beragama Islam namun mahkamah perlu mendengar isi hati ibu yang bukan Islam.

Katanya, sehubungan itu, mahkamah syariah perlu diantarabangsakan bagi membolehkan ia mendengar rungutan ibu bapa bukan Islam.

Bagaimanapun, Mohd Noor berkata langkah itu akan menyaksikan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment