PUTRAJAYA – Presiden Barack Obama berkata Amerika dan negara Eropah perlu bertindak secara kolektif untuk mengenakan sekatan terhadap Rusia berhubung krisis di Ukraine.
Katanya, melalui strategi itu, dunia dikehendaki bersatu menunjukkan kepada Rusia bantahan terhadap tindakan negara itu mengenakan sekatan ke atas Ukraine, ketika negara barat bimbang kemungkinan Rusia akan melakukan pencerobohan.
“Perlu memastikan bahawa kita adalah sebahagian daripada gabungan antarabangsa yang menghantar mesej itu, dan Rusia adalah bersendirian, berbanding Amerika, dalam usaha untuk menarik keluar Ukraine daripada orbit ini, circa 1950.
“Walaupun persetujuan telah dicapai dengan Rusia supaya krisis itu tidak menjadi semakin buruk, namun Rusia tidak langsung membantu (dalam melaksanakan persetujuan yang dicapai di Geneva pada 17 April, yang bertujuan meredakan krisis berkenaan).
“Malah, terdapat bukti kukuh mereka (Rusia) menggalakkan kegiatan demikian seperti yang telah berlaku (di Ukraine),” kata Obama dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana di Putrajaya, Ahad.
Obama sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, yang bermula Sabtu.
Negara Kumpulan Tujuh (G7) Sabtu bersetuju untuk mula mengenakan sekatan baharu terhadap Moscow berhubung krisis Ukraine yang semakin buruk.
Pentagon melaporkan pesawat perang Rusia menceroboh ruang udara Ukraine beberapa kali pada Khamis dan Jumaat, mungkin sebahagian daripada langkahnya untuk menguji kemampuan radar Ukraine.
Pencerobohan udara itu berlaku ketika berpuluh ribu anggota tentera Rusia membanjiri sempadan selatan dan timur Ukraine sejak beberapa minggu lepas.
Di timur Ukraine, kerajaan Kiev, yang dibentuk melalui rampasan kuasa yang disokong negara Barat, melancarkan serangan terhadap pemberontak pro-Moscow, yang berkuasa di beberapa bandar.
Walaupun Rusia ingin menggambarkan bahawa Washington menentang Moscow dalam krisis Ukraine, namun kata Obama: “Itu bukan isunya. Isu sebenar adalah kemerdekaan dan kedaulatan Ukraine, serta integriti wilayahnya.
“Kami ada kepentingan dalam seluruh proses itu dan adalah penting bagi kami menjadikan Amerika sebagai sebahagian daripada satu gabungan antarabangsa yang menghantar mesej kepada Rusia bahawa Rusia adalah keseorangan dalam mengenakan sekatannya, ” kata Obama.
Malah, kata Presiden Amerikt itu, langkah perlu dilakukan secara bersatu, berkesan dan sistematik untuk menjamin ia mampu bertahan secara jangka panjang.
“Sebagai contoh, katakanlah kita tidak membenarkan penjualan senjata tertentu kepada Rusia, tapi jika semua kontraktor pertahanan Eropah mengkhianati apa yang kita lakukan, maka ia tidak akan menjadi cukup berkesan.
“Lebih berkesan jika setiap orang menyertainya dan bersikap komited,” kata beliau.
Mengulas tentang satu rakaman audio Don Sterling, pemilik Los Angeles Clippers, Obama berkata ia merupakan kenyataan berunsur perkauman yang sangat teruk.
“Saya rasa, tak perlulah saya tafsirkan kenyataan itu untuk anda kerana ia nampaknya sudah cukup jelas. Apabila orang jahil ingin mempamerkan kejahilan mereka, tidak perlulah kita melayannya. Biarkan saja mereka bercakap. Dan itulah yang berlaku di sini,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata National Basketball Association (NBA) akan menangani keadaan itu dan menurut Obama, Amerika masih bergelut dengan legasi perkauman, perhambaan dan perpecahan.
“Memanglah, NBA liga yang mempunyai banyak peminat seluruh negara. Ia membariskan para pemain Amerika-Afrika yang hebat. Ia juga kaya dengan budaya Amerika-Afrika. Saya rasa NBA amat prihatin untuk menyelesaikan perkara ini.
“Kita patut bersikap jelas dan teguh dalam menolaknya, sambil mengajar anak kita perkara berbeza serta menyedari bahawa punca terkeluar kenyataan seperti itu adalah kerana terdapat perubahan mengenai cara kita melihat diri kita,” kata Obama.
Sterling yang didakwa orang yang bercakap dalam satu rakaman audio yang dipaparkan dalam laman web TMZ, Sabtu, meminta teman wanitanya tidak membawa orang kulit hitam ke tempat perlawanan.
–BERNAMA
0 comments:
Post a Comment