JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dilaporkan kritikal selepas melecur hampir seluruh badan akibat terbakar dalam satu kejadian dekat Taman Century, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira 9.22 pagi itu, mangsa telah mengisi minyak menggunakan tong empat liter di sebuah stesen minyak dengan alasan keretanya kehabisan petrol.
Beliau berkata, selepas mengisi minyak petrol dengan harga RM8, mangsa beredar menghala ke arah hotel berhampiran.
“Anggaran dua meter dari stesen minyak tersebut, mangsa yang berjalan kaki dipercayai bertindak menyimbah diri dengan bahan bakar itu sebelum memasang pemetik api.
“Mangsa kemudiannya cuba berlari ke arah hotel sebelum jatuh ke dalam longkang yang jaraknya anggaran 50 meter dari stesen minyak berkenaan,” katanya semalam.
Sulaiman berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut.
“Mangsa berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri berikutan hampir 100 peratus terbakar akibat insiden itu,” katanya.
Katanya, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan sedang mengesan waris serta keluarga mangsa.
“Saksi kejadian yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment