KANGAR – Menteri Besar Perlis, Azlan Man yakin semua acara sukan yang dipertandingkan dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-17 akan diadakan di negeri ini selaku tuan rumah.
Beliau berkata, ini termasuk acara membabitkan gelanggang yang masih dalam pembinaan dan menimbulkan kebimbangan setengah pihak sehingga ada dakwaan acara akuatik akan diadakan di Pusat Akuatik Gunung Keriang, dekat Alor Setar.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau mengulangi bahawa semua infrastruktur sudah 99 peratus siap kecuali kolam renang yang akan diserahkan oleh kontraktor kepada kerajaan negeri minggu depan.
Azlan berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kolam renang itu dibina dengan konsep pasang siap menggunakan teknologi Itali.
“Saya agak kesal dengan cakap-cakap negatif pihak luar tidak menghargai usaha bersungguh-sungguh kerajaan negeri untuk menyiapkan segala keperluan bagi menjayakan Sukma termasuk kemudahan untuk petugas-petugas media,” tambahnya.
Mengenai bilik operasi media, Azlan berkata, ia sudah disediakan lengkap dengan kemudahan Wifi dan jalur lebar kapasiti tinggi.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula sudah maklum soal keselamatan atlet dan pegawai yang berjumlah hampir 10,000 orang serta jaminan keselamatan orang ramai,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment