KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung permit kenderaan pengendali syarikat bas persiaran, Syarikat Merry Holidays Sdn. Bhd. yang terlibat dalam kemalangan pada 20 April lalu.
SPAD dalam satu kenyataan media memberitahu, penggantungan itu berkuatkuasa pada 27 April 2014 dan melibatkan sebanyak tujuh permit bas persiaran yang beroperasi di laluan seluruh Semenanjung Malaysia.
“Keputusan penggantungan ini di ambil kerana pengendali gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dibawah SPAD-ICOP Keselamatan antaranya tidak memasang GPS pada kenderaan, tidak melantik pegawai keselamatan, gagal memantau kelajuan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut dan gagal melakukan pemeriksaan ke atas pemandu sebelum memulakan perjalanan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, SPAD telah menggantung sebanyak 542 permit kenderaan syarikat bas henti-henti, bas ekspres, bas pesiaran, bas sekolah dan kenderaan perdagangan yang terlibat dalam kemalangan dan melanggar syarat-syarat pelesenan serta SPAD–ICOP Keselamatan sejak Ogos tahun lalu.
Sehubungan itu, SPAD memohon kepada semua pengendali supaya sentiasa memberi perhatian yang serius kepada aspek keselamatan penumpang dan pengurusan pemandu serta penyelengaraan kenderaan.
0 comments:
Post a Comment