ALOR SETAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menetapkan sebarang kuota bagi pemohonan golongan belia kaum Cina atau kaum-kaum lain untuk menyertai badan beruniform itu.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata walaupun bilangan golongan bumiputera yang menyertai PDRM sudah ramai, tetapi ia tidak pernah menghadkan penyertaan kepada kaum lain.
“PDRM telah mengambil inisiatif mengadakan Kempen Eksesais Pengambilan Khas Konstabel Kaum Cina bagi menggalakkan penglibatan kaum Tionghua kerana penyertaan dari kaum ini masih kurang jika dibandingkan dengan kaum Melayu dan India.
“Ada sesetengah masyarakat bertanggapan negatif bahawa PDRM hanya mengambil kaum bumiputera, sedangkan kerjaya ini terbuka kepada semua rakyat yang menepati syarat-syarat ditetapkan,” katanya kepada pemberita pada Kempen Eksesais Pengambilan Khas Konstabel Kaum Cina di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya mensasarkan lebih 40 peserta datang mengisi borang dan mendengar taklimat hari ini.
Seorang pemuda, Tan Sing Chai, 24, berasal dari Simpang Kuala dekat siniberkata dia memang berminat untuk menyertai PDRM sejak dulu.
“Saya baru sahaja menamatkan pelajaran dalam bidang Pengurusan di Universiti Sains Malaysia. Sebelum ini saya telah mengambil borang pemohonan dari balai polis berdekatan dan hari ini saya datang untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Memang sukar untuk mendapatkan maklumat mengenai kerjaya ini, tetapi dengan adanya kempen dan hebahan di dalam suratkhabar, ia dapat membantu kami mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya.
Seorang gadis, Nilsara a/p Epong, 27, dari Padang Sera, Kodiang berkata dia ingin mengikut jejak ayah saudaranya yang juga merupakan seorang pegawai polis.
“Sejak kecil saya berminat untuk menjadi anggota polis.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai operator kilang dan apabila melihat jawatan kosong yang ditawarkan oleh PDRM saya terus membuat keputusan untuk menyertainya,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment