Anak Ikan Mangsa Pukat Tunda
KUALA TERENGGANU - Statistik Jabatan Perikanan mendapati purata 180,000 tan metrik ikan baja atau anak ikan ditangkap dalam masa setahun oleh nelayan yang menggunakan pukat tunda.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, penangkapan ikan baja itu berlaku disebabkan faktor pencerobohan nelayan pukat tunda ke kawasan Zon A iaitu dari 0 hingga lima batu nautika dari pantai.
Menurutnya, kawasan berkenaan sebelum ini hanya dikhaskan untuk nelayan yang menggunakan peralatan tradisional.
“Sememangnya penggunaan pukat tunda sangat efisien dari segi menangkap ikan berkelas komersial yang mana hampir 50 peratus atau lebih 700,000 tan metrik jumlah pendaratan ikan yang direkodkan adalah hasil pukat tunda.
“Namun, kita agak kesal sebab sekitar 25 peratus daripada hasil ikan pukat tunda merupakan ikan baja atau anak ikan yang tak sempat membesar dan anak ikan ini kalau dibiarkan dua hingga tiga bulan lagi boleh membesar dan memberi hasil yang menguntungkan,”
katanya pada sidang media sempena Majlis Interaksi Bersama Nelayan Komersial Zon B dan Zon C di sini.
Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Abdul Khalil Abdul Karim.
Ahamad Sabkhi berkata, pihaknya kesal dengan tindakan nelayan pukat tunda yang mengambil jalan mudah dengan menceroboh kawasan Zon A untuk mendapat hasil banyak.
“Setiap tahun kita dapati lebih daripada 600 bot nelayan yang menggunakan pukat tunda menceroboh kawasan Zon A dan perkara ini kalau dibiarkan dan tidak diatasi segera, negara kita akan kekurangan sumber ikan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, bagi mengatasi masalah kekurangan sumber pada masa akan datang, pihaknya akan memperkenalkan pengezonan semula kawasan penangkapan ikan bagi nelayan di kawasan Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung.
“Di Pantai Barat kita dah laksanakan pada 1 Jun lalu dan di Pantai Timur pengezonan semula ini akan dikuatkuasakan pada 1 Jan tahun depan.
“Melalui pengezonan semula ini, kita harap ia dapat membantu menambah sumber ikan negara sebab kita ada zon khusus untuk kawasan konservasi untuk 100 peratus perlindungan dan pemuliharaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahamad Sabki berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis marin bagi menangani masalah pencerobohan nelayan pukat tunda di zon tidak dibenarkan. - Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment